Sunday, May 5, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    Suami kurung, rantai isteri di sebuah pondok

    BEIJING, 23 FEB – Pihak berkuasa China hari ini menahan seorang lelaki yang didakwa mengurung dan merantai isterinya di sebuah pondok dan menghukum kira-kira 17 pegawai tempatan berhubung kes yang mencetuskan kemarahan itu.

    Insiden terbabit mencetuskan perdebatan hangat mengenai kesihatan mental dan pemerdagangan orang pada Januari lalu, selepas sebuah video diterbitkan seorang blogger memaparkan wanita itu dirantai dan dikunci di bahagian leher dalam cuaca sejuk dekat wilayah Jiangsu.

    Menurut pihak berkuasa wilayah, wanita itu ditemui menghidapi skizo-frenia dan pernah dijual beberapa kali termasuk sekali pada 1998 pada harga 5,000 yuan (AS$790), selepas diambil dari kampungnya di barat daya wilayah Yunnan.

    Pegawai berkata, ‘tindakan khas segera diambil untuk menyiasat secara komprehensif dan mendalam serta memperbetulkan isu pencabulan hak itu’.

    Tambahnya, wanita yang dikenali sebagai Xiaohuamei yang bermaksud bunga plum kecil adalah ibu kepada lapan anak dan sedang menerima rawatan di hospital.

    Pegawai di kawasan wanita itu ditemui pada awalnya menafikan tuduhan berlaku penculikan dan pemerdagangan orang tetapi siasatan peringkat tertinggi dilancarkan selepas bantahan awam.

    Siasatan mendapati Xiaohuamei hilang selepas tinggal selama beberapa bulan dengan seorang lelaki di Jiangsu yang membawanya ke situ dan selepas itu, dibawa oleh pasangan yang mempunyai sebuah hotel.

    Dia kemudian dijual lagi kepada dua individu sebelum dibawa oleh keluarga suaminya sekarang.

    Pihak berkuasa berkata, suami wanita itu yang bernama Dong, ditahan secara rasmi semalam bersama-sama dua individu atas dakwaan pemerdagangan.

    Siasatan sedang dijalankan terhadap enam lagi suspek yang terbabit dengan permerdagangan wanita itu, manakala lapan pegawai tempatan dipecat dari jawatan masing-masing dan sembilan lagi dikenakan pelbagai hukuman. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...