Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga Rohingya maut dalam pertempuran di kem pelarian

    BANGLADESH, 11 JUN – Kira-kira tiga pelarian Rohingya terbunuh dan tujuh lagi cedera selepas pertempuran antara kumpulan bersaingan untuk menguasai kem-kem bantuan di Bangladesh, kata polis hari ini.

    Bangladesh merupakan tempat tinggal kepada satu juta penduduk minoriti Islam tanpa kerakyatan dan tertindas, yang kebanyakannya tiba selepas tindakan keras ketenteraan pada tahun 2017 di negara jiran Myanmar.

    Hampir kesemuanya tinggal di kem-kem yang berselerak dan kotor, di mana pertempuran antara kumpulan bersenjata telah meningkat tahun ini selepas pengambilan pelarian secara paksa untuk berperang dalam perang saudara di Myanmar.

    Polis berkata sekurang-kurangnya 100 anggota Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA) kelmarin menyerang sekumpulan pelarian yang menjalankan rondaan keselamatan di sebuah kem di daerah Cox’s Bazar.

    “Mereka memotong pagar dawai berduri yang mengelilingi kem dan melancarkan serangan ke atas Rohingya yang melindungi kem,” kata Mohammad Iqbal, pegawai pemerintah Batalion Polis Bersenjata, yang ditugaskan menjaga keselamatan di kem-kem tersebut.

    “Tiga orang Rohingya terbunuh dan tujuh cedera. Apabila polis datang ke tempat kejadian, anggota ARSA turut menyerang polis,” katanya kepada AFP, sambil menambah mangsa telah ditembak dan diserang dengan pisau. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda