Saturday, May 4, 2024
24 C
Brunei

    -

    Tingkat pemahaman sains sukan dan perubatan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Dalam bidang sains sukan dan perubatan yang terus berkembang, Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) melalui Jawatankuasa Saintifik dan Perubatan terus mempromosikan pertukaran ilmu pengetahuan dan perkembangan bidang berkenaan bagi memastikan prestasi peringkat tinggi atlet dapat dicapai.

    Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menyokong matlamat serupa kecemerlangan dalam sukan dan pertandingan di setiap peringkat serta pada masa yang sama mengutamakan kesihatan dan keselamatan atlet-atlet kebangsaan negara.

    Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Kesukanan) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud selaku Penasihat Jawatankuasa Kerja Persidangan Sains Sukan dan Perubatan 2024 dalam ucapannya pada Majlis Pembukaan Persidangan Sains Sukan dan Perubatan, Brunei Darussalam 2024 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, hari ini.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim; Pemangku Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Awang Haswandi bin Haji Osman serta pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan.

    Pengiran Mohammad Amirrizal dalam ucapannya menyatakan lagi bahawa kerjasama antara pelbagai pihak yang berkepentingan adalah amat penting dalam memastikan hasil dapatan saintifik yang disampaikan semasa persidangan itu dapat diterjemahkan sebagai tindakan yang berimpak.

    Pengiran Mohammad Amirrizal semasa menghadiri majlis pembukaan persidangan berkenaan, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Antara peserta yang menyertai persidangan yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Oleh itu, dengan adanya wakil-wakil daripada pelbagai kementerian dan entiti swasta, tambahnya, persidangan itu merupakan platform pembelajaran yang bermanfaat untuk mencapai matlamat-matlamat berkenaan.

    Majlis seterusnya menyaksikan pembentangan bertajuk Understanding and Managing Overtraining Syndrome oleh Naib Presiden Asian Federation of Sports Medicine (AFSM), Dr Ucksy Mallick dan pembentangan bertajuk Recovery and Sports Supplementation for High Performance Athletes oleh Setiausaha Agung Persatuan Perubatan Sukan Thailand, Dr Ead Lorprayoon.

    Persidangan itu diadakan selama dua hari bermula hari ini di mana sembilan orang ahli AFSM dan dua orang ahli panel dari Negara Brunei Darussalam telah dijemput sebagai penceramah jemputan bagi persidangan berkenaan.

    Penceramah jemputan berkongsi pengetahuan mereka tentang topik yang berkaitan dengan sains sukan dan perubatan.

    Persidangan itu bermatlamat untuk memperkukuhkan pemahaman tentang sains sukan dan berkongsi penemuan terkini dalam bidang itu, mempromosi kolaborasi antara pakar sains sukan serta membangun strategi untuk meningkatkan prestasi dan kesihatan atlet.

    Dengan persidangan yang berlangsung di Negara Brunei Darussalam itu, ia dapat memberikan peluang kepada semua rakyat Brunei dalam bidang perubatan sukan, sains sukan, fisioterapi dan latihan sukan untuk meningkatkan pengetahuan mereka dengan penemuan terkini dan berhubung dengan Komuniti Perubatan Sukan Asia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...