Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat penglibatan kontraktor dalam sektor tenaga

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Seramai 212 orang dari 61 buah syarikat dari Brunei Darussalam, Republik Korea, Malaysia, Singapura dan juga Thailand, telah menghadiri Forum Vendor Tenaga yang berlangsung di Dewan Banquet, Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
     
    Hadir merasmikan forum tersebut ialah Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Dayang Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib selaku tetamu kehormat. 
     
    Semasa berucap pada perasmian forum itu, tetamu kehormat menyatakan sektor tenaga bukan sahaja membentuk asas ekonomi negara, tetapi ia juga sumber utama yang menjana rumah, perniagaan dan industri, dan adalah tanggungjawab bersama untuk memastikan sektor tersebut terus bertahan dan berkembang.
     
    “Komitmen kerajaan untuk memperbaiki sektor tenaga adalah kukuh dan kunci bagi mencapainya terletak pada pembangunan pasaran yang dinamik dan kompetitif, di mana kontraktor boleh mengambil bahagian dan mencatat kejayaan.
     
    “Forum ini adalah bukti komitmen tersebut dan ianya adalah platform yang direka untuk menghubungkan perniagaan dengan peluang yang akan datang, selain memudahkan akses kepada projek dan perkhidmatan yang akan memajukan sektor tenaga ke hadapan,” jelas Dayang Hajah Farida.
     
    Dayang Hajah Farida semasa merasmikan forum berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Pengiran Haji Jamra Weira semasa menyampaikan ucaptama mengenai Landskap Tenaga Brunei. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara tetamu yang hadir pada acara tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Beliau turut menekankan tentang visi untuk mencipta ekosistem kontraktor yang pelbagai dan inklusif, di mana inovasi dan kecemerlangan menjadi penggerak utama. 
     
    “Dengan memperluas kumpulan kontraktor, kami dapat memastikan sektor tenaga menikmati manfaat daripada pelbagai kemahiran, perspektif dan penyelesaian yang berbeza,” tambahnya.
     
    Forum Vendor Tenaga 2024 bertemakan Connecting Businesses with Emerging Opportunities, yang mempunyai hubungan langsung dengan visi Kementerian Tenaga, iaitu Keselamatan Tenaga demi Kesejahteraan Brunei Darussalam selaras dengan agenda strategik negara dalam mencapai wawasan 2035.
     
    Forum antara lain bertujuan memberikan peluang kepada kontraktor-kontraktor tempatan dan antarabangsa untuk bertemu dan membentuk perkongsian strategik serta memperluaskan rangkaian kontraktor yang berminat bagi mengambil bahagian dalam projek tenaga.
     
    Sejurus perasmian forum berkenaan, ucaptama mengenai Landskap Tenaga Brunei telah disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra.
     
    Forum berkenaan turut diisi dengan klinik vendor yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik sebagai sebahagian daripada agenda.
     
      Klinik tersebut melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Pembangunan, Darussalam Assets dan Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan (BAPEQS).
     
    Klinik itu memberikan nasihat mengenai pendaftaran, proses perolehan dan membantu dalam meneroka peluang yang ada, yang mana ianya merupakan sumber yang amat baik untuk kontraktor baharu dan berpengalaman bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam sektor tenaga.
     
    Forum berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Tenaga JPM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Elektrik yang menumpukan kepada tenaga dan tenaga boleh diperbaharui.
     
    Antara yang menghadiri forum tersebut ialah Duta Besar Amerika Syarikat ke Brunei, Puan Yang Terutama Caryn McClelland; Duta Besar Kemboja ke Brunei, Tuan Yang Terutama Lim Hokseng dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Republik Rakyat China di Brunei Darussalam, Wang Haitao dan tetamu khas yang lain.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda