Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Toni Kroos pemain terbaik Jerman

    BERLIN, 5 OGOS – Toni Kroos telah dipilih sebagai pemain terbaik Jerman untuk musim 2023-24 manakala Xabi Alonso memenangi anugerah kejurulatihan kerana memimpin Bayer Leverkusen menjulang piala Bundesliga.

    Kroos, 34 memenangi anugerah yang dianjurkan oleh majalah sukan Jerman, Kicker untuk kali kedua kelmarin selepas dipilih sebagai pemain terbaik pada 2018.

    Kroos menamatkan kariernya yang cemerlang bulan lalu selepas Jerman tersingkir dari Kejohanan Eropah kepada juara Sepanyol, setelah membantu Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara dan liga Sepanyol musim lalu.

    Kroos menerima 285 undian dalam tinjauan Kicker, mengatasi rakan sepasukan Jermannya, Florian Wirtz dari Leverkusen yang menerima 246, dan pemain tengah Switzerland, Granit Xhaka, juga dari Leverkusen, yang menerima 66 undian.

    Kejayaan Leverkusen – akhirnya menamatkan dominasi Bayern Munich selama 11 tahun dalam Bundesliga dan kekal tanpa kalah sepanjang musim liga – memastikan Alonso memenangi anugerah jurulatih terbaik Jerman buat kali pertama. Leverkusen juga memenangi Piala Jerman untuk mencipta dua kejuaraan domestik tanpa kekalahan.

    Alonso yang berusia 42 tahun, mengambil alih tugas sebagai jurulatih Leverkusen pada Oktober 2022 ketika pasukan itu menduduki tempat kedua tercorot dalam Bundesliga, mengumpul 503 undian, di depan jurulatih Stuttgart, Sebastian Hoeneb (42) dan jurulatih Heidenheim, Frank Schmidt (50).

    Stuttgart berada di tempat kedua dalam Bundesliga manakala Heidenheim menamatkan saingan di tempat kelapan dalam musim pertamanya di liga utama selepas Schmidt memimpin pasukan itu ke kedudukan atas musim sebelumnya. – AP

    Aksi Toni Kroos semasa perlawanan bola sepak La Liga Sepanyol di stadium Santiago Bernabeu di Madrid, Sepanyol pada 25 Mei. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda