Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    TotalEnergies labur dalam projek solar

    MUMBAI, 3 SEPT – Kumpulan Adani India akan menubuhkan usaha sama dengan TotalEnergies untuk mengendalikan projek solar 1,150 megawatt di negeri barat Gujarat, kata syarikat itu hari ini.

    Perjanjian itu, yang akan mengembangkan hubungan perniagaan antara konglomerat jutawan India, Gautam Adani dan syarikat Perancis itu, akan menyaksikan Adani Green Energy (AGEL) menyumbang aset semasanya kepada usaha sama baharu itu. TotalEnergies akan melabur AS$444 juta untuk mempercepatkan pembangunan projek-projek berkenaan.

    Pemfailan pertukaran berasingan berkata AGEL dan TotalEnergies akan memegang kepentingan yang sama dalam gabungan itu. Sebanyak 19.75 peratus AGEL dimiliki oleh TotalEnergies.

    “Projek-projek itu terletak di loji tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia di Khavda, Gujerat,” kata AGEL dalam satu kenyataan.

    TotalEnergies dalam satu kenyataan pula berkata, “Tapak Khvada akan meliputi 538 kilometer persegi – lima kali ganda saiz Paris – dan bertujuan menghasilkan kapasiti solar dan angin sebanyak 30 gigawatt (GW), dengan 2GW sedang dihasilkan oleh AGEL.”

    Tenaga elektrik yang dijana daripada projek-projek itu akan dijual melalui perjanjian pembelian dengan Solar Energy Corporation of India dan melalui jualan di pasaran borong.

    “Urus niaga baharu ini membolehkan TotalEnergies memanfaatkan liberalisasi berterusan pasaran elektrik India,” kata TotalEnergies.

    TotalEnergies juga telah membangunkan pengeluaran elektrik boleh diperbaharui, dengan kapasiti pengeluaran kasar sebanyak 22GW pada akhir tahun 2023. Ia turut menyasarkan untuk mengembangkannya lagi kepada 35GW menjelang 2025. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda