Tuesday, October 1, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tragedi Itaewon: Bekas ketua polis daerah Seoul dipenjara 3 tahun

    SEOUL, 30 SEPT – Mahkamah Korea Selatan hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap bekas ketua polis daerah Seoul atas insiden rempuhan yang mengorbankan lebih 150 orang, lapor agensi berita Yonhap.

    Puluhan ribu orang – kebanyakannya dalam lingkungan usia 20an dan 30an – telah keluar pada 29 Oktober 2022, untuk menyambut perayaan Halloween pertama selepas COVID-19 di kawasan hiburan malam yang popular, Itaewon.

    Namun, malam itu bertukar menjadi tragedi apabila orang ramai memasuki lorong sempit yang menurun di antara bar dan kelab, menyebabkan ramai yang dihempap hingga mati akibat berat badan mereka dan kekurangan kawalan orang ramai yang berkesan.

    Bekas ketua polis daerah Yongsan, Lee Im-jae, didapati bersalah kerana gagal mencegah rempuhan tersebut – menjadikannya pegawai polis pertama yang disabitkan atas peranan mereka dalam bencana itu.

    “Dapat diramalkan orang ramai akan berada di lorong cerun Itaewon yang akan membawa kepada bahaya serius terhadap nyawa dan keselamatan fizikal pada hujung minggu Halloween 2022,” kata Mahkamah Daerah Barat Seoul dalam keputusan bersalah itu, lapor Yonhap.

    Seorang lagi bekas pegawai yang bertanggungjawab di pusat kecemasan polis Yongsan dijatuhi hukuman penjara dua tahun hari ini atas tuduhan yang sama.

    “Keputusan ini, yang mengakui tanggungjawab pegawai polis berhubung tragedi ini, adalah tindakan yang wajar untuk mempertanggungjawabkan mereka yang bertanggungjawab atas bencana tersebut,” kata sekumpulan keluarga mangsa dalam satu kenyataan. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda