Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump gesa rakyat Amerika bersatu

    BUTLER, AMERIKA SYARIKAT, 14 JULAI – Donald Trump hari ini menyeru rakyat Amerika untuk bersatu padu selepas dia cedera dalam cubaan pembunuhan insiden mengejutkan yang membuka lembaran gelap baharu dalam perlumbaan presiden Amerika Syarikat (AS) yang sudah terpolarisasi.

    Bekas presiden berusia 78 tahun itu ditembak di telinga pada perhimpunan kempen di Butler, Pennsylvania, manakala penembak dan seorang penonton terbunuh dan dua yang lain cedera parah dalam tindakan keganasan politik AS yang paling teruk dalam beberapa dekad.

    “Pada masa ini, adalah lebih penting daripada sebelumnya bahawa kita kekal (Bersatu) United,” kata Trump dalam satu kenyataan pada rangkaian Truth Social, sambil menambah rakyat Amerika tidak seharusnya membenarkan “kejahatan menang”.

    Republikan itu menambah bahawa “Tuhan sahaja yang menghalang perkara yang tidak terfikir daripada berlaku” dan bahawa dia “TIDAK TAKUT”.

    Lelaki bersenjata itu telah dikenal pasti sebagai Thomas Matthew Crooks berusia 20 tahun dari Bethel Park, Pennsylvania, kira-kira sejam pemanduan dari tapak perhimpunan, menurut kenyataan FBI awal hari ini. Motifnya masih tidak diketahui.

    Bekas Presiden Donald Trump dibantu turun dari pentas pada acara kempen di Butler, Pennsylvania, pada 13 Julai. – AP

    Presiden AS, Joe Biden hari ini mendapat penjelasan ringkas terkini di Rumah Putih mengenai cubaan pembunuhan terhadap pesaingnya dalam pilihan raya yang tegang November depan.

    Demokrat berusia 81 tahun itu telah menggelar serangan tersebut “menjelekkan” dan bercakap dengan Trump selepas itu. Dia juga memendekkan hujung minggu di rumah percutiannya dan kembali ke Washington untuk menangani krisis itu.

    Penembak itu, dilaporkan seorang Republikan berdaftar, dipercayai beroperasi bersendirian.

    Sebuah video yang diterbitkan oleh outlet berita AS, TMZ menunjukkan individu didakwa penyerang berbaring telentang di atas bumbung yang landai dan membidik senapang. Tembakan berturut-turut kedengaran diikuti dengan jeritan daripada para penyokong Trump yang menghadiri perhimpunan itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda