Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    TUDM terbangkan 40 warga Palestin cedera dari Mesir ke Malaysia

    KUALA LUMPUR, 15 OGOS – Seramai 40 orang awam Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza akan diterbangkan dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir pada Khamis malam dengan dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan. 

    Warga Palestin yang cedera dan kini sedang menerima rawatan di beberapa hospital di Mesir, mengalami pelbagai masalah kesihatan, termasuk kecederaan tulang dan melecur.

    Duta Mesir ke Malaysia, Ragai Nasr memberitahu Bernama bahawa dua pesawat dan pesakit dijadualkan tiba di Malaysia pada pagi Jumaat. “Mereka akan menerima rawatan di hospital-hospital yang ditetapkan oleh Malaysia,” katanya.

    Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan bahawa dua pesawat A-400M milik TUDM telah dihantar ke Mesir untuk membawa warga Palestin yang cedera ke Malaysia untuk rawatan perubatan.

    Nasr berkata pemilihan 40 warga Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan di Malaysia dibuat atas arahan Presiden Abdel Fattah el-Sisi selepas menerima permintaan daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Ini adalah usaha yang diselaraskan melibatkan pelbagai pihak yang bekerjasama untuk memenuhi permintaan Perdana Menteri Anwar,” katanya, sambil memberi jaminan komitmen untuk meneruskan usaha mereka dengan kerjasama Malaysia. – Bernama

    Gambar Unsplash

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda