Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Turkiye sekat akses ke Instagram

    ISTANBUL, 2 OGOS – Turkiye hari ini menyekat akses kepada rangkaian media sosial, Instagram, menurut pihak berkuasa komunikasi negara itu, tanpa memberi penjelasan lanjut.

    Keputusan itu dibuat selepas seorang pegawai tinggi di Turkiye mendakwa timbul tindakan penapisan oleh syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu.

    Pihak berkuasa komunikasi Turkiye, BTK, dalam catatan di laman sesawangnya memaklumkan keputusan sudah dibuat bahawa Instagram.com disekat pada 2 Ogos 2024, tanpa butiran lanjut.

    Ramai pengguna yang menetap di Turkiye mengadu di platform X bahawa mereka tidak dapat muat naik atau memperbaharui kandungan mesej di Instagram, seperti mana disahkan AFP.

    Pengarah komunikasi kepada Presiden Turkiye, Fahrettin Altun, pada Rabu lalu mengecam Instagram yang dimiliki Meta, menuduh platform itu menghalang orang ramai daripada memuat naik mesej takziah untuk pemimpin Hamas yang syahid, Ismail Haniyeh.

    Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan bercakap semasa sidang akhbar di Ankara pada 13 Mei lalu. – AP

    Ismail Haniyeh, ketua biro politik Hamas dan sekutu rapat Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, terbunuh di Tehran pada Rabu lalu dalam serangan yang didakwa didalangi Israel.

    “Ini adalah tindakan yang sangat jelas lagi nyata untuk cuba melakukan penapisan kandungan,” katanya di platform X.

    Menurut media Turkiye, terdapat lebih daripada 50 juta pengguna Instagram berdaftar di negara itu, dalam kalangan 85 juta penduduknya dan itu bukan kali pertama pihak berkuasa Turkiye menyekat akses ke laman media sosial.

    Wikipedia disekat antara April 2017 dan Januari 2020 kerana dua artikel yang didakwanya ada kaitan antara jawatan presiden dan amalan berunsur pelampau.

    Ia menimbulkan kejutan di negara itu, di mana kerajaan Erdogan sering dituduh mengekang kebebasan awam berikutan banyak maklumat dalam talian yang tidak dapat diakses.

    Pada April, pemilik Facebook, Meta, menggantung rangkaian sosial Threads di Turkiye berikutan keputusan pihak berkuasa di sana untuk menghalangnya daripada berkongsi maklumat dengan Instagram. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda