Tuesday, September 17, 2024
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNN menang anugerah kecemerlangan teknologi

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) pada 5 September lalu mencatat mercu tanda baharu setelah menerima Anugerah Kecemerlangan Teknologi Asia 2024 dalam Kategori Rangkaian dan Jalur Lebar – Telekomunikasi sebagai mengiktiraf usahanya.

    Menurut kenyataan UNN, panel hakim terdiri daripada Price Waterhouse Cooper, KPMG, Deloitte SEA, EV Asia-Pasifik dan RSM Hong Kong telah menyemak beberapa penyertaan dari rantau Asia Pasifik dan telah menganggap UNN layak menerima anugerah tersebut.

    Pada Mei lalu, UNN telah menyerahkan kertas putih yang mengetengahkan beberapa pencapaian melibatkan pelaksanaan teknologi yang dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui untuk menghubungkan komuniti pedalaman yang sebelum ini terputus dari kawasan lain serta juga pembangunan Program Jangkauan Luar Bandar bagi mempromosikan keterangkuman sosial dan digital sebagai sebahagian daripada inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) korporatnya.

    Kertas putih itu juga meliputi pencapaian syarikat antara 2019 dan 2024 di mana lebih 800 stesen pangkalan lama telah dimodenkan dan diguna semula, meningkatkan liputan mudah alih seluruh negara dari 80 peratus kepada 96 peratus serta memperkenalkan IMS dan VoLTE untuk menggantikan suara 3G lama dan melancarkan 5G menerusi penggunaan C-Band dan Perkongsian Spektrum Dinamik 700MHz.

    Pelanggan perkhidmatan mudah alih kini boleh menikmati kelajuan purata 104 Mbps daripada 27 Mbps pada 2019.

    Liputan gentian seluruh negara juga meningkat daripada 54 peratus pada 2019 kepada 94 peratus pada 2024 dengan mengurangkan dua kali ganda tarif borong semasa tempoh berkenaan yang menyaksikan harga runcit menurun untuk menjadikan penggunaan ICT lebih berpatutan dan mudah diakses oleh semua khususnya golongan yang kurang bernasib baik.

    Pelanggan jalur lebar tetap di Brunei kini juga dijamin 100Mbps berbanding dengan 25Mbps pada 2019.

    Inisiatif-inisiatif berkenaan bagi meningkatkan ketersambungan dan pengalaman pengguna di seluruh Brunei telah menempatkan negara di kedudukan pertama OOKLA di ASEAN dan kedudukan ke-15 secara global bagi perkhidmatan mudah alih dan di tempat ke-71 secara global bagi perkhidmatan tetap pada Julai 2024.

    UNN pada 5 September lalu mencatat mercu tanda baharu setelah menerima Anugerah Kecemerlangan Teknologi Asia 2024. – GAMBAR SERAHAN UNN

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda