Tuesday, September 17, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Upacara menaikkan Ibu Pertiwi tingkatkan semangat patriotisme – Uggah

    KUCHING, 8 SEPT – Upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Sarawak malah dapat menyemarakkan lagi semangat patriotisme, kata Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

    Beliau berkata selain itu, acara yang dilaksanakan secara terbuka setiap bulan turut menjadi tarikan pelancong dengan mempamerkan bendera Sarawak yang dipasang pada tiang tertinggi di Asia Tenggara di Dataran Ibu Pertiwi.

    “DBKU (Dewan Bandaraya Kuching Utara) menganjurkan program ini setiap bulan secara terbuka dan boleh disaksikan dari pelbagai sudut, dengan akses yang mudah untuk menyeberang ke lokasi acara,” katanya selepas Upacara Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi di Dataran Ibu Pertiwi hari ini.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) yang juga Menteri Bertanggungjawab DBKU, Datuk Abdul Rahman Junaidi dan Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmi Othman.

    Terdahulu, DBKU dalam kenyataan memaklumkan Ibu Pertiwi membawa maksud kedaulatan selain menunjukkan kehebatan Sarawak dengan bendera berwarna merah, hitam dan kuning.

    “Warga Bandaraya Kuching dijemput hadir bagi sama-sama menyaksikan Upacara Bulanan Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi pada setiap bulan bagi bersama-sama menyemarakkan semangat patriotisme,” menurut kenyataan itu. – Bernama

    Gambar Utusan Sarawak
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda