Thursday, May 2, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Usaha mencari mangsa hanyut diteruskan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Usaha mencari dan menyelamatkan seorang lelaki remaja berusia 19 tahun yang dipercayai hanyut dibawa air sungai yang deras diteruskan lagi pada hari kedua oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, panggilan insiden mencari dan menyelamat orang lemas telah diterima kelmarin dan operasi masih diteruskan sehingga sekarang.

    Seramai 18 anggota bomba dari Balai Bomba Rataie dikerahkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Kampung Batang Duri itu yang diketuai oleh Stesen Komander Balai Bomba Rataie, Pemangku DSO Adanan bin Salat dan melibatkan Unit Penyelam bersama Unit Dron JBP.

    Mangsa dipercayai hanyut dibawa air sungai deras ketika menjalankan aktiviti mandi-manda di kawasan sungai berkenaan dan usaha SAR dijalankan segera selepas menerima panggilan.

    Pencarian telah dijalankan di tebing-tebing sungai manakala Unit Penyelam menjalankan operasi merentas sungai untuk memasang tali bermula dari kawasan tempat mangsa dipercayai hanyut dan tidak ada tanda-tanda mangsa di tempat pencarian.

    Cuaca dan keadaan air yang tidak menentu menyukarkan operasi SAR dan anggota bomba bertindak menjalankan pencarian di kawasan tebing sungai Kampung Sibut dan Lubok Batu Amas jarak 3 kilometer dari Incident Command Post.

    Tiga orang anggota bomba bersama sembilan lagi orang dari OBBD menjalankan tindakan pencarian menggunakan dua buah inflatable raft milik OBBD di kawasan tebing kuari Kampung Amo dan pencarian kedua di kawasan Sungai Bangar hingga ke Kampung Biang dan tidak ada tanda-tanda mangsa di kawasan pencarian.

    Operasi diketuai Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi G, SSFR Haji Afiq bin Haji Julah dan Stesen Komander Balai Bomba Rataie, Pemangku DSO Adanan bin Salat berserta dengan 25 orang anggota bomba.

    Pegawai dan agensi lain yang hadir ialah Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Abdul Hadi Zulfadli bin Haji Yahya, Pemangku Penolong Pegawai Daerah Temburong, Haji Mohammad Azmi bin Haji Suhaili, Pemangku Ketua Kampung Sibut, Haji Suhaili bin Haji Badas, Pemerintah Polis Temburong, DSP Haji Irham bin Haji Arshad dan Ketua Paramedik, SNP Awangku Mohd Aiman Syafiee bin Pengiran Muhd Mahrizalludin.

    Anggota JBP memasang pukat di sekitar kawasan mangsa hanyut. – Gambar serahan JBP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...