Saturday, May 4, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    11 warga asing dicekup bersama 1.8 tan dadah

    PHNOM PENH, 13 JULAI – Polis antidadah Kemboja berjaya memberkas sebuah kumpulan yang terdiri daripada 11 warga asing kerana menghasilkan dadah terlarang dan turut merampas lebih 1.8 tan dadah yang belum siap diproses, menurut Jabatan Polis Antidadah (ADP) hari ini.

    Semua suspek yang ditahan adalah lelaki dan telah diberkas semasa siri serbuan di 12 buah lokasi di wilayah Phnom Penh, Svay Rieng, Prey Veng dan Kandal dari 4 hingga 9 Julai selepas siasatan lebih tiga bulan.

    “Jumlah keseluruhan dadah sebanyak 1.82 tan yang belum siap diproses dan 276.7 tan kimia digunakan untuk menghasilkan dadah serta sejumlah besar peralatan untuk membuat dadah telah dirampas semasa serbuan,” menurut ADP dalam kenyataan.

    Sementara itu, tujuh buah premis, termasuk sebuah kondominium, empat buah gudang, sebuah kilang penghasilan dan sebuah vila serta lapan buah kereta telah dibekukan, tambah kenyataan.

    Kemboja tidak melaksanakan hukuman mati bagi penyeludup dan pembuat dadah.

    Di bawah undang-undang negara itu, seseorang yang sabit kesalahan menyeludup lebih 80 gram dadah boleh dihukum penjara seumur hidup.

    Menurut ADP, Kemboja telah mencekup 7,645 pengedar dadah, termasuk 99 orang warga asing, semasa separuh pertama 2022, merampas kira-kira 3.12 tan dadah terlarang dan 185 tan bahan dadah. – Xinhua

    Seorang anggota polis berkawal semasa upacara melupuskan dadah terlarang di Phnom Penh. Polis antidadah Kemboja berjaya menahan 11 orang warga asing dan merampas lebih 1.8 tan dadah yang belum siap diproses. – Xinhua
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...