Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    124 peserta Program Perkampungan Kepanduan diraikan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Seramai 60 orang guru-guru sekolah rendah serta 64 orang pandu puteri sekolah menengah dan pandu puteri renjer dari pusat tingkatan enam telah diraikan selepas menamatkan Program Perkampungan Kepanduan Tahun 2024, yang berlangsung di Dewan Serba guna Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, hari ini.

    Program perkampungan yang bertemakan Unlock the Adventure of Girls selama dua hari itu merupakan anjuran Kementerian Pendidikan yang bermula pada 31 Ogos lalu.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah dan sijil kepada para peserta, Pengarah Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim.

    Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Pandu Puteri Terbaik Keseluruhan kepada Dayang Sara Mar Iyah binti Mohd Sufri dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS).

    Perkampungan itu merupakan satu kaedah pembelajaran informal dengan sistem berkumpulan bagi mengembangkan pengetahuan dan kemahiran peserta selaras dengan program pandu puteri, pandu puteri renjer dan pandu puteri tunas.

    Dayang Sara Mar Iyah, penerima Pandu Puteri Terbaik Keseluruhan. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada peserta program Perkampungan Kepanduan. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    Program pada tahun ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori Pandu Puteri dan Renjer yang terdiri daripada pelajar-pelajar pandu puteri peringkat sekolah menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan dan swasta.

    Sementera Kategori Guru-guru Sekolah Rendah terdiri daripada guru-guru peringkat sekolah rendah kerajaan dan swasta yang belum menubuhkan pasukan pandu puteri tunas.

    Antara objektif utama program tersebut adalah untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran, keseronokan dan semangat peserta dalam melaksanakan aktiviti Program Tunas Puteri.

    Selain itu, ia juga bagi membina kefahaman mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai pandu puteri tunas dan memberi peluang kepada peserta-peserta untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan berfikir melalui aktiviti yang diikuti di samping meningkatkan kemahiran berkolaborasi dan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta.

    Majlis penutup dan program perkampungan tersebut dianjurkan bersama oleh Bahagian Beruniform dan Perkhidmatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan dengan Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda