Sunday, May 5, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    27 pelajar lulus ujian JLPT diraikan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Seramai 27 orang yang menduduki dan lulus Ujian Kefasihan Bahasa Jepun (JLPT) bagi Tahap Bahasa N1 hingga N5 menerima sijil dan diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil JLPT 2023 yang berlangsung di Kediaman Rasmi Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penyampaian sijil kepada para penerima ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh.
    Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru dan Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Hazri bin Haji Kifle, perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan dan pegawai Kementerian Pendidikan dan Kedutaan Jepun serta para penerima sijil yang diraikan.

    TYT Maeda Toru dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa bahasa bukan sahaja satu alat untuk berkomunikasi antara satu sama lain tetapi ia juga merupakan platform untuk mengenali budaya, sejarah dan masyarakat sesebuah negara itu.

    Dalam hubungan itu, beliau menyatakan harapan kepada para penerima sijil untuk sentiasa meningkatkan tahap kemahiran berbahasa mereka serta untuk menggunakan bahasa berkenaan supaya ia tidak dilupakan.

    Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima yang berjaya untuk lulus dalam ujian mereka dan menggalakkan mereka untuk terus belajar Bahasa Jepun.

    Dr Chin Wei Keh, TYT Maeda Toru, Dr Hazri serta jemputan khas bergambar ramai dengan mereka yang lulus JLPT dalam majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H

    Pada majlis berkenaan, TYT Maeda Toru menyempurnakan penyampaian sijil kepada para penerima daripada N5 hingga N2 dengan disaksikan bersama oleh Dr Chin Wei Keh dan Dr Hazri.

    JLPT ditawarkan oleh Japan Foundation sejak 1984 sebagai kaedah penilaian yang boleh dipercayai dan untuk mengiktiraf tahap kefasihan penguasaan Bahasa Jepun oleh pelajar-pelajar di mana Bahasa Jepun bukan bahasa ibunda mereka.

    Di Negara Brunei Darussalam, JLPT dilancarkan pada 2008 dan diadakan setiap Disember di mana pada 2023, seramai 56 orang telah menduduki ujian itu dalam pelbagai tahap kefasihan iaitu dari N1 hingga N5 dan seramai 27 orang telah lulus.

    Daripada jumlah berkenaan, seorang telah lulus N2, enam lulus N3, lima lulus N4 dan 15 orang lulus N5 dengan Awang Muhammad Mawardi bin Murasedi yang lulus N2 menyampaikan ucapan penghargaan bagi pihak penerima sijil pada majlis berkenaan.

    JLPT 2024 akan diadakan pada 1 Disember nanti dan permohonan untuk mengambil ujian berkenaan akan dibuka bermula Ogos hingga September nanti.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...