Saturday, May 4, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    7 remaja ditahan dalam serbuan antikeganasan

    SYDNEY, 24 APRIL – Polis Australia memberkas tujuh remaja dalam serbuan antikeganasan hari ini, dengan dakwaan rangkaian itu mungkin merancang serangan dan menimbulkan ‘risiko yang tidak boleh diterima’ kepada orang ramai, menurut kenyataan pegawai.

    Lebih 400 pegawai terlibat dalam pencarian di 13 lokasi di seluruh Sydney berikutan serangan tikaman terhadap seorang biskop Assyria minggu lalu.

    Seorang budak lelaki berusia 16 tahun sudah pun ditahan atas serangan itu tetapi polis berkata terdapat tujuh lagi remaja ’bermotifkan agama’ yang membentuk sebahagian daripada ‘rangkaian sekutu dan rakan yang lebih luas’ kini telah ditangkap.

    Timbalan pesuruhjaya polis, Dave Hudson berkata pengawasan ‘tinggi’ terhadap rangkaian itu memberikan gambaran yang membimbangkan dan memerlukan tindakan segera.

    Polis berkata kesemua pesalah adalah remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun.

    Pakar antikeganasan Polis Persekutuan Australia, Krissy Barrett berkata rangkaian itu ‘berkongsi ideologi pelampau ganas yang serupa’.

    Walaupun polis percaya serangan mungkin berlaku, Barrett berkata mereka setakat ini gagal mengemukakan sebarang bukti ‘lokasi, masa atau sasaran tertentu’.

    Biskop Assyria, Mar Mari Emmanuel telah ditetak di kepala dan dada oleh seorang suspek berusia 16 tahun semasa khutbah yang disiarkan secara langsung dalam talian minggu lalu.

    Polis dengan segera menyifatkan tindakan remaja itu sebagai tindakan ‘pengganas’, didorong oleh ekstremisme bermotifkan agama. – AFP

    Pegawai forensik polis memeriksa sebuah kereta di luar gereja di pinggir bandar Wakely di barat Sydney, Australia pada 16 April. Seramai 7 remaja ditahan dalam serbuan antikeganasan kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...