Masih jelas dalam ingatan penyanyi lagu Pulanglah, Datuk Aishah kenangan kesibukannya dan teman sepermainan bermain bunga api di kawasan padang rumah berdekatan kuarters Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Raja Muda, Kampung Baru setiap kali menjelangnya Syawal.
Walaupun kenangan indah sudah lama berlalu, setiap kali menjelang Syawal pasti momen bersama rakan terbit dalam ingatan.
“Bapa adalah guru besar di Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda. Jadi, sudah menjadi kemestian saya dan rakan-rakan yang tinggal di kuarters akan bermain bunga api pada malam raya.
“Lebih menyeronokkan, kawasan kuarters berhampiran dengan padang besar. Jadi, kami bebas berlari dan bermain bunga api, namun alhamdulillah tiada siapa pernah tercedera,” katanya ketika mengimbau semula momen indah di Aidilfitri.
Selain terkenangkan aktiviti bermain bunga api, seperkara lagi yang masih segar dalam ingatan penyanyi berusia 58 tahun itu keseronokan menggayakan baju raya baharu setiap kali Syawal.
Katanya, kanak-kanak pada zaman sekarang mungkin tidak merasai keseronokan berbaju baharu kerana hidup serba mewah.
“Berbeza kanak-kanak zaman dahulu, setahun sekali barulah dapat beli baju dan kasut baharu. Punya seronok lain macam.
“Selain teruja dengan baju dan kasut baharu, seperkara lagi adalah acara mengira duit raya.
“Kebiasaannya pulang berhari raya, saya dan adik beradik akan lambakan duit untuk mengira berapa jumlah yang berjaya dikumpul, itu adalah bahagian yang paling menyeronokkan sekali,” imbaunya kepada BH Online. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P17-D-paper-web_28042023.jpg)