Jika diikutkan, Amira Othman tidak pernah terpalit kontroversi sejak mula membina nama sebaik meninggalkan pentas sebagai peserta musim ke-10 program realiti, Akademi Fantasia (AF10) pada 2013.
Namun, apabila menempah risiko dengan menampilkan aktor sensasi, Fattah Amin dalam video muzik single terbaharu berjudul Bila Nak Kahwin, nama Amira pantas menjadi bualan, lapor BH Online.
Amira atau nama sebenar, Nadia Amira Othman, 31, mengakui cuba keluar daripada zon selesa dengan menggunakan kaedah gimik sebagai cara mempromosikan single baharu.
“Gimik dengan Fattah ini adalah kerjasama syarikat rakaman, Sony Music dan pihak pengurusan Fattah.
Kita rancang beberapa adegan dalam video muzik ini di mana penggambaran dilakukan di London, United Kingdom (UK).
“Saya peka dengan sambutan gimik ini. Saya tahu ada orang suka dan ada orang tidak suka. Namun, saya harap, gimik ini tidak melukakan hati penyokong. Saya fikir anak seni pastinya tidak terlepas daripada berdepan perkara begini.
“Dahulu, apabila saya tiada kontroversi, orang bertanya kenapa tiada kontroversi? Jadi, sekarang, saya ambil risiko.
“Saya terima semua komen dan kritikan. Baik atau tidak, semuanya saya ambil. Saya tahu kita tidak boleh buat semua orang sukakan kita. Kalau ada yang tidak suka, saya minta maaf, semua ini hanyalah atas tujuan kerja,” katanya pada majlis pelancaran single baharu berjudul Bila Nak Kahwin dan pelantikannya sebagai duta Varisha di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam, baru-baru ini.
Amira berkata, sebelum Fattah dipilih, ada beberapa nama yang dicadangkan. Namun, melihatkan Fattah hangat diperkatakan sekarang, mengapa tidak digunakan ruang dan peluang yang ada. – Agensi