Sunday, May 5, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    Ancaman tsunami Pasifik reda, abu gunung berapi sukarkan bantuan

    WELLINGTON, 16 JAN – Satu ancaman tsunami di sekitar kepulauan Pasifik daripada letusan gunung berapi bawah laut besar, mula reda hari ini, namun abu gunung berapi menutupi negara pulau, Tonga sekali gus menghalang pemantauan pesawat udara dari New Zealand yang cuba mengakses tahap kerosakan.

    Imej-imej satelit menunjukkan letusan yang menakjubkan berlaku pada malam Sabtu, dengan kepulan abu, stim dan gas meletus ke permukaan seperti cendawan di perairan biru Pasifik.

    Di Tonga, ia membawa kepada ombak tsunami yang menghempas pantai dan orang ramai melarikan diri ke tempat tinggi. Letusan mengakibatkan terputusnya sambungan internet ke Tonga, membuatkan rakan dan keluarga di seluruh dunia cemas dan cuba menghubungi sanak-saudara untuk mengetahui sama ada mereka selamat atau sebaliknya. Malah laman web kerajaan dan sumber rasmi lain tidak dikemas kini sehinggalah petang ini.

    Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengatakan belum ada laporan rasmi kecederaan atau kematian di Tonga, namun memberi amaran bahawa pihak berkuasa belum lagi dapat berhubung dengan sebahagian penduduk di kawasan pesisir pantai dan pulau-pulau kecil. “Komunikasi dengan Tonga amat terhad. Saya tahu ia membawa kepada kebimbangan besar kepada masyarakat Tonga di sini,” kata Ardern.

    Menurutnya, terdapat kerosakan signifikan kepada bot-bot dan kedai di sepanjang pesisir pantai Tonga. Ibu negaranya, Nuku’alofa diselubungi dengan abu tebal gunung berapi, kata Ardern, mencemarkan bekalan air dan menjadikan air bersih amat diperlukan.

    Gambar satelit dirakamkan oleh Himawari-8, satelit cuaca Jepun dan dikeluarkan Agensi Meterologi Jepun, menunjukkan gunung berapi dasar laut meletus di negara Pasifik, Tonga kelmarin. Letusan itu mengakibatkan tsunami di negara itu dan kerosakan sejauh New Zealand dan California. – AP
    Sebuah bot yang rosak akibat tsunami, kelihatan separa tenggelam di sebuah marina di Tutukaka, New Zealand, 16 Januari selepas letusan gunung berapi dasar laut di Tonga. – AP

    Agensi bantuan mengatakan abu dan asap telah membuatkan pihak berkuasa menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka dan minum air botol.

    Ardern mengatakan New Zealand tidak dapat menghantar penerbangan pemantauan ke Tonga pada Ahad kerana abu tebal kelihatan pada ketinggian 63,000 kaki, namun mereka berharap dapat mencuba lagi esok, diikuti pesawat bekalan dan kapal tentera laut.

    Penyelaras amaran tsunami di Pusat Amaran Tsunami Kebangsaan di Palmer, Alaska, Dave Snider mengatakan ia agak luar biasa bagi letusan gunung berapi memberi kesan kepada seluruh lembangan lautan dan keajaiban itu bukan sahaja ‘menundukkan, malah menakutkan.’

    Ombak tsunami mengakibatkan kerosakan sejauh New Zealand dan Santa Cruz, California, namun kelihatan tidak membawa kerosakan meluas. Snider menjangkakan situasi tsunami di AS dan di mana-mana sahaja akan terus baik. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...