Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS umum pinjaman hampir AS$20b, tingkatkan keluaran cip

    WASHINGTON, 20 MAC – Rumah Putih hari ini mengumumkan pinjaman dan geran baharu bernilai hampor AS$20 bilion untuk menyokong kemudahan pembuatan cip Amerika Syarikat (AS) Intel, menandakan pengumuman pembiayaan terbesar pentadbiran Biden ketika ia menangani penguasaan teknologi penting China.

    Keputusan Presiden, Joe Biden, untuk membuat pengumuman semasa lawatan ke Arizona menggariskan strateginya untuk menonjolkan pencapaian perundangan di negeri medan persaingan utama menjelang pertandingan semula presiden November menentang Donald Trump.

    Negeri barat daya itu adalah antara persaingan paling ketat pada tahun 2020, di mana Biden menang dengan hanya 10,457 undi.

    Kemenangan pada tahun 2024 penting bagi Biden, yang menghadapi persaingan pemilihan semula yang sukar ketika dia berusaha untuk meyakinkan pengundi yang masih ragu-ragu tentang rekod ekonominya, walaupun data pertumbuhan dan penciptaan pekerjaan yang kukuh baru-baru ini, kadar pengangguran yang berterusan rendah dan inflasi yang perlahan.

    “Jabatan Perdagangan telah mencapai persetujuan awal dengan Intel untuk menyediakan pembiayaan langsung sehingga AS$8.5 bilion bersama-sama dengan pinjaman AS$11 bilion di bawah Akta CHIPS dan Sains,” kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.

    Peruntukan itu ‘akan menyokong pembinaan dan pengembangan kemudahan Intel di Arizona, Ohio, New Mexico, dan Oregon, dengan mewujudkan hampir 30,000 buah pekerjaan dan menyokong puluhan ribu pekerjaan tidak langsung,” tambahnya.

    Pengumuman pembiayaan tersebut hari ini adalah yang terbesar daripada mana-mana geran yang dibuat setakat ini di bawah Akta CHIPS dan Sains AS$52.7 bilion pada 2022, kata Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo, kepada pemberita sebelum pengumuman itu.

    Wang itu akan membantu memberi insentif kepada Intel untuk membuat pelaburan bernilai lebih AS$100 bilion, yang akan menjadi salah satu pelaburan terbesar yang pernah ada dalam pembuatan semikonduktor AS, katanya.

    Ia meletakkan AS di landasan yang betul untuk memenuhi sasarannya untuk mengeluarkan 20 peratus daripada cip termaju dunia menjelang 2030, meningkat daripada sifar peratus hari ini, tambahnya. – AFP

    Biden semasa berucap pada acara kempen di restoran El Portal pada 19 Mac, di Phoenix. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda