Friday, November 15, 2024
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baiduri terima Anugerah AOSWADA ke-2

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Bank Baiduri diberikan penghormatan yang amat besar apabila menjadi penerima Anugerah Pembangunan dan Kebajikan Sosial Cemerlang ASEAN (AOSWADA) ke-2 pada 24 Mei lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, menyatakan bahawa penghormatan berprestij berkenaan merupakan sebuah inisiatif oleh ASEAN bagi mengenal pasti organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO), organisasi perkhidmatan awam dan syarikat-syarikat swasta yang telah membuat sumbangan yang signifikan kepada masyarakat dalam bidang kebajikan sosial dan pembangunan dalam negara-negara anggota masing-masing.

    Anugerah berkenaan telah disampaikan semasa Mesyuarat Pegawai-pegawai ASEAN bagi Pembangunan dan Kebajikan Sosial ke-18 yang dipengerusikan oleh Malaysia. Pegawai-pegawai kanan berkenaan juga telah memuji Bank Baiduri atas komitmen kuatnya untuk membina sebuah masa hadapan yang mampan bagi negara menerusi beberapa inisiatif yang telah dicapainya sepanjang tahun.

    Anugerah berkenaan telah diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dalam sebuah majlis yang diadakan secara maya. Dalam ucapan penerimaannya, Ti Eng Hui merakamkan penghargaan kepada ASEAN atas pengiktirafan yang diberikan pada Bank Baiduri.

    Beliau mengambil maklum atas usaha kolektif rakan kongsi dan kakitangan bank berkenaan serta menyatakan bahawa pengiktirafan itu akan menjadi pemangkin untuk mengembangkan lagi program tanggungjawab sosial korporat dan menjana sebuah impak sosial positif yang berpanjangan.

    Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Bank Baiduri adalah termasuk kerjasama bank berkenaan dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menerusi penghasilan aplikasi muda alih, Mengalinga, yang menjadi sebagai sebuah hab pusat menghubungkan individu dan memudahkan penyertaan aktif dalam aktiviti-aktiviti kesukarelawanan, kempen-kempen dan bengkel pendidikan, Zero to Hero, yang dikendalikan bersama dengan Zero Waste Brunei yang bermatlamat untuk memperkasa organisasi dan individu untuk menerima pakai amalan-amalan mampan serta inisiatif tahunan bank, Let’s Give Back This Ramadan, yang bertujuan untuk menyediakan sokongan dan bantuan kepada keluarga-keluarga kurang berkemampuan menerusi pengagihan makanan, bantuan kewangan dan sumber-sumber penting lain.

    Ti Eng Hui dan warga Baiduri bergambar ramai bersama salah sebuah keluarga yang mengikuti Program Let’s Give Back This Ramadan anjuran pihak Baiduri. – Gambar serahan Bank Baiduri
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda