NAIROBI, 7 APRIL – Bank Dunia meluluskan pembiayaan AS$390 juta untuk membantu meningkatkan ekonomi digital Kenya, lapor Xinhua.
Bank Dunia berkata wang itu akan digunakan untuk program pertama meluaskan akses kepada internet berkelajuan tinggi, meningkatkan kualiti dan penyampaian pendidikan serta perkhidmatan kerajaan terpilih serta membangunkan kemahiran untuk ekonomi digital serantau.
Keith Hansen, Pengarah Negara Bank Dunia untuk Kenya, Rwanda, Somalia dan Uganda, berkata Projek Percepat Ekonomi Digital Kenya bertujuan membantu menjadikan pertumbuhan Kenya lebih saksama dengan mengecilkan jurang kemahiran dan ketersambungan digital, serta mengembangkan pasaran digital.
Bank itu berkata projek itu akan menggunakan pendekatan program dua fasa dengan Fasa 1 akan dijalankan dari 2023-2028 manakala Fasa 2 dari 2026-2030, menumpukan kepada pembangunan persekitaran yang dipacu data dan selamat untuk penyampaian perkhidmatan digital dan inovasi yang dipertingkat untuk ekonomi digital serantau.
Ia berkata projek itu juga akan menggerakkan anggaran AS$100 juta modal swasta menerusi pendanaan sektor swasta untuk pembangunan infrastruktur jalur lebar. – Bernama