Tuesday, November 5, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bayangan kesepian

    (Siri Akhir)

    Oleh Rady HF –

    Malam itu, setelah berbual panjang dengan Alia di kafe, Aina kembali ke rumah dengan perasaan yang lebih ringan. Walaupun luka di hatinya masih berdarah, kata-kata Alia memberikan sedikit kelegaan. Namun, perasaan itu hanya sementara. Sebaik sahaja dia melangkah ke dalam rumah, beban yang ditanggungnya selama ini kembali menyerbu.

    Dia cuba untuk menenangkan dirinya, memikirkan kata-kata semangat dari Alia yang menjadi sahabatnya sejak di bangku sekolah. Namun, secebis semangat yang Alia berikan tidak mampu untuk memadamkan luka di hati Aina yang begitu dalam.

    Tiba-tiba, bunyi pintu bilik ibunya terbuka perlahan dan muncul sosok ibunya yang kelihatan terkejut melihat Aina masih terjaga.

    “Aina, kenapa belum tidur lagi?” suara ibunya dingin seperti biasa, tanpa rasa prihatin.

    Aina memandang ibunya, cuba mencari sekelumit kasih sayang yang mungkin masih ada di mata wanita itu. Tetapi, seperti selalu, pandangan ibunya hanya terpancar kekecewaan.

    Alia mengambil surat yang ditulis Aina dan membacanya. – Envato
    Gambar Freepik

    “Ibu… boleh tak kita bercakap sekejap?” pinta Aina, nada suaranya penuh harap.

    “Ibu… Aina cuba buat yang terbaik, tapi Aina tak tahu kenapa ibu dan ayah macam tak pernah puas hati dengan Aina. Kadang-kadang, Aina rasa… Aina ni hanya beban untuk ibu,” Aina meluahkan perasaannya, suara bergetar menahan tangis.

    Ibunya menghela nafas panjang, seolah-olah tidak yakin sama ada mahu berkata sesuatu atau tidak.

    “Aina, ibu dan ayah bukan tak sayangkan kamu. Tapi kadang-kadang kami rasa kamu ni… terlalu lemah. Mudah putus asa. Ibu selalu nak kamu jadi kuat, tak mengalah dengan tekanan. Kamu kena belajar, dunia luar tu takkan sentiasa bersikap lembut pada kamu,” ujar ibunya, nadanya kedengaran tegas, namun tiada simpati.

    Aina tunduk, menahan air mata yang mula mengalir. Jawapan itu bukanlah apa yang diharapkannya. Dia inginkan pengakuan, kata-kata sayang, sesuatu yang dapat mengubat luka hatinya.

    “Ibu, Aina bukannya minta lebih. Aina cuma nak rasa dihargai…rasa disayangi. Aina nak tahu kalau ibu dengan ayah bangga dengan Aina… walaupun sedikit,” suara Aina semakin lemah dan dia menunduk, tidak sanggup bertentang mata dengan ibunya.

    Ibunya mengeluh, seolah-olah bosan dengan keluhan Aina. “Aina, kadang-kadang kamu terlalu fikir pasal perasaan sendiri. Hidup ni bukan tentang perasaan je. Kami sayangkan kamu, tapi kamu perlu belajar untuk berdikari. Jangan harapkan kami puji-puji kamu sepanjang masa.”

    Kata-kata itu bagai tikaman tajam di hati Aina. Selama ini dia berusaha keras, bukan untuk pujian, tetapi sekadar untuk mendapat pengiktirafan daripada keluarga sendiri. Tetapi setiap kali dia berusaha, dia hanya berhadapan dengan kekecewaan.

    Tanpa berkata apa-apa lagi, Aina bangkit dari tempat duduknya dan menuju ke biliknya.

    Dia tidak tahu apa lagi yang perlu dia buktikan kepada keluarganya untuk merasa dirinya dihargai. Malam itu, Aina duduk di tepi katil, memandang keluar jendela, melihat bintang-bintang yang jauh di langit.

    Hari-hari seterusnya, Aina menjadi semakin pendiam. Alia yang prihatin cuba menegur Aina, tetapi setiap kali dia bertanya, Aina hanya tersenyum kelat dan menukar topik.

    Hingga suatu hari, ketika mereka sedang berjalan di taman, Alia tidak dapat menahan dirinya lagi.

    “Aina, aku nampak kau tak okay. Kau boleh cerita pada aku kalau kau rasa susah. Aku nak kau tahu, kau tak keseorangan,” kata Alia, sambil memegang bahu Aina.

    Aina tersenyum pahit, akhirnya memutuskan untuk meluahkan apa yang dirasakannya.

    “Alia, aku rasa…aku ni tak pernah cukup untuk sesiapa. Untuk ibu, untuk ayah…semua yang aku buat tak pernah kena. Mereka selalu cakap aku lemah, tak kuat. Tapi mereka tak pernah tanya kenapa aku jadi macam ni.”

    Alia memandang Aina dengan penuh simpati. “Aina, kau tak perlu jadi sempurna untuk dihargai. Aku nampak kau, aku hargai kau. Tapi, aku tak boleh gantikan keluarga kau. Aku cuma nak kau tahu, aku ada di sini kalau kau perlukan seseorang.”

    Keesokan paginya, telefon Aina berbunyi ada mesej masuk dari Alia.

    Aina, aku ada kejutan untuk kau esok. Jangan lupa jumpa aku di kafe biasa pukul 3 petang!

    Aina tersenyum kecil, namun senyuman itu pudar dengan cepat. Malam itu, dia memejamkan mata, berharap semua perasaan ini hilang. Tetapi, seperti biasa, bayangan wajah ibunya, kata-kata pedas ayahnya, semuanya terus menghantui.

    Keesokan harinya, Aina tidak muncul di kafe. Alia yang menunggu merasa resah, hatinya diselubungi kebimbangan. Berkali-kali dia menghubungi Aina, namun tiada jawapan. Rasa gelisah semakin bertambah dan Alia memutuskan untuk pergi ke rumah Aina.

    “Makcik, Aina ada di rumah tak? Dia tak datang di kafe tadi…” suara Alia cemas.

    Ibunya memandang Alia dengan wajah yang berubah suram. “Aina… Aina ada dalam bilik dia. Tapi dia tak keluar sejak malam tadi,” jawab ibunya, nada suaranya penuh kebimbangan.

    Mereka bergegas menuju ke bilik Aina. Setelah beberapa kali mengetuk pintu tanpa sebarang jawapan, ayah Aina mengambil keputusan untuk menolak pintu tersebut.

    Di dalam bilik, mereka menemui Aina terbaring di atas katil, tidak bergerak. Di sisi katilnya, terdapat sehelai surat yang ditulis oleh Aina. Dengan tangan yang terketar-ketar, Alia mengambil surat itu dan membacanya.

    “Ibu, ayah, maafkan Aina. Aina sudah cuba untuk menjadi anak yang baik, untuk jadi kuat seperti yang ibu dan ayah mahukan. Tapi, Aina tak mampu. Maafkan Aina kerana tak mampu jadi anak yang sempurna. Kepada Alia, terima kasih kerana sentiasa ada. Maafkan aku kerana tak dapat bertahan lebih lama.”

    Surat itu berakhir di situ, dengan tanda air mata yang memenuhi kertas. Ibunya terduduk di lantai, menggenggam tangan Aina yang sudah sejuk, akhirnya menyedari bahawa tekanan dan kekecewaan yang diberikannya telah mengambil nyawa anaknya sendiri.

    Ayahnya terdiam, memandang tanpa kata, tenggelam dalam rasa bersalah yang tidak mampu diredakan.

    Alia hanya mampu berdiri di sisi, air matanya mengalir tanpa henti, menyedari bahawa sahabatnya kini telah tiada.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda