Thursday, September 19, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bayern kekal di Puncak Bundesliga

    BERLIN, 15 SEPT – Bayern Munich meneruskan permulaan sempurna musim ini dan melonjak ke puncak Bundesliga selepas menewaskan pasukan yang baharu dipromosi, Holstein Kiel, dengan keputusan 6-1. Jamal Musiala membuka jaringan seawal 15 saat, menjadikannya gol ketiga terpantas dalam sejarah Bundesliga.

    Kesilapan kapten Kiel, Lewis Holtby, memberikan peluang kepada bekas rakan sepasukannya di Tottenham Hotspur, Harry Kane, untuk menggandakan pendahuluan Bayern tujuh minit kemudian.

    “Ada perbezaan kelas hari ini,” kata Holtby kepada Sky Germany selepas perlawanan. “Rasanya seperti mereka mempunyai pemain tambahan di atas padang, tahniah kepada Bayern atas prestasi cemerlang mereka.”

    Nasib pasukan tuan rumah semakin memburuk apabila satu lagi kesilapan pertahanan membuka ruang kepada Musiala yang melakukan hantaran silang, dan Nicolai Remberg secara tidak sengaja tertampan bola ke gawang sendiri.

    Hanya selepas 13 minit, Bayern sudah mendahului 3-0.

    Aksi Harry Kane menjaringkan gol semasa perlawanan bola sepak Bundesliga pertama Jerman antara Holstein Kiel dan FC Bayern Munich pada 14 September. – AFP

    Tiga tahun selepas kemenangan bersejarah mereka menentang Bayern dalam pusingan kedua Piala Jerman, Kiel kali ini tampak gugup dan terpesona dengan aksi lawan.

    Kane menambah jaringan keduanya sebelum rehat, sementara pemain gantian Michael Olise menjaringkan gol kelima selepas sejam perlawanan berlangsung.

    Armin Gigovic memberikan sedikit kegembiraan kepada penyokong tuan rumah dengan tandukan yang menjaringkan gol saguhati, tetapi Bayern memastikan kemenangan bergaya apabila Kane melengkapkan hatriknya dengan sepakan penalti di masa kecederaan.

    “Ada banyak perkara positif tentang permainan kami ketika ini,” kata kapten Bayern, Manuel Neuer. “Kami kembali dengan mentaliti kemenangan dan telah memulakan momentum yang baik sekarang.”

    Bayern kini mendahului Bundesliga dengan kelebihan dua mata, tetapi pasukan bimbingan Vincent Kompany ini akan memberi tumpuan kepada kempen Liga Juara-Juara mereka yang bermula Selasa depan dengan perlawanan menentang Dinamo Zagreb di Allianz Arena. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda