Saturday, May 4, 2024
24 C
Brunei

    -

    Berhati-hati beri sumbangan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Dalam memastikan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NPO) tidak disalahgunakan bagi tujuan aktiviti pembiayaan keganasan (terrorism financing) di dalam atau luar negara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam memberikan sumbangan kepada organisasi berkenaan

    Menurut PPDB, pengganas boleh menyalahgunakan NPO berkenaan untuk membiayai aktiviti pengganasan dengan pelbagai cara.

    Dalam kenyataan media dikeluarkan kelmarin, PPDB menyatakan bahawa di Brunei mahupun di negara-negara luar, terdapat beberapa organisasi atau pertubuhan yang terlibat dalam menjalankan pengumpulan dan pengagihan dana bagi tujuan
    seperti kebajikan, agama, budaya, pendidikan, sosial dan pelbagai lagi aktiviti yang berunsur kebaikan.

    Organisasi seperti itu lazimnya adalah NPO yang mempunyai risiko signifikan untuk disalahgunakan, antaranya mengalihkan pemindahan wang, menyamar sebagai pertubuhan yang sah dan membuat pengumpulan dana melalui transaksi digital, menjadikan NPO sebagai platform untuk menyampaikan mesej berunsur radikal dan mendapatkan sumbangan serta sokongan dari orang awam.

    Oleh yang demikian, individu-individu atau kumpulan yang berkeinginan untuk membuat sumbangan dana ke NPO di Negara Brunei Darussalam dan di luar negara, khususnya melalui transaksi perbankan digital, diingatkan agar meningkatkan kewaspadaan dengan mendapatkan maklumat lengkap mengenai organisasi tersebut, dan memastikan pengumpulan dan penerimaan dana dijalankan oleh organisasi yang dipercayai.

    Ini merupakan salah satu langkah dan tanggungjawab Negara Brunei Darussalam dalam melaksanakan pemantauan piawaian antarabangsa berhubung pembanterasan pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan.

    Dari itu, orang ramai diingatkan bahawa tindakan menyebabkan, membantu dan menggalakkan aktiviti dilarang yang menyumbang kepada pengganasan secara langsung dan tidak langsung, merupakan kesalahan berat yang boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 4 Perintah Antikeganasan 2011 dan Seksyen 5 Peraturan-peraturan Antikeganasan (Pembiayaan Pengganas) 2013 dengan hukuman pemenjaraan tidak melebihi 30 tahun dan / atau denda tidak melebihi $5 juta dan pembekuan harta tanpa bertangguh.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...