Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Kerja berpasukan selari tuntutan agama, sosial

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Kerja berpasukan atau kerja berjemaah adalah selari dengan tuntutan agama dan sosial kerana melaluinya, seseorang itu lebih mudah memenuhi keperluan sosial, psikologi dan mencapai matlamat hidup.

    Sehubungan itu, Islam sering menyeru supaya kita hidup dalam berjemaah. Ini terbukti apabila seseorang yang solat berjemaah lebih baik daripada solat berseorangan.

    Perkara itu ditekankan oleh Pemangku Ketua Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, Awang Mohd Arif bin Abdul Hadi ketika berucap pada majlis penutup Bengkel Kerja Berpasukan bagi Pasukan Sukarelawan Institusi Pendidikan (PSIP) di Dewan Serba Guna, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3), Kementerian Pendidikan, Kampung Perpindahan Lambak Kanan hari ini.

    Menurutnya, imbasan sejarah-sejarah Islam turut membuktikan bahawa kerja berpasukan amat penting.

    Beliau seterusnya menerangkan bahawa bengkel itu diadakan untuk mewujudkan peluang berinteraksi dan berkenalan di antara ahli serta menerapkan semangat sukarela dalam melaksana aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

    Pemangku Pengarah, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Mohammad Norilham bin Haji Jais menyampaikan sijil kepada sebahagian daripada 55 peserta bengkel.
    Gambar ramai tetamu kehormat dan para peserta serta pihak penganjur.

    Di samping itu, ia juga akan dapat meningkatkan kemahiran lembut dan kemahiran lain melalui modul latihan yang disediakan dalam melahirkan masyarakat yang bersifat pemimpin.

    Seramai 55 orang ahli PISP dari 11 buah sekolah menengah kerajaan berjaya menamatkan bengkel dan menerima sijil mereka. Hadir selaku tetamu kehormat serta menyempurnakan penyampaian sijil ialah Pemangku Pengarah, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Mohammad Norilham bin Haji Jais.

    Wakil peserta bengkel, Dayang Dina Mazarina binti Marzan dari Sekolah Menengah Sayyidina Husain menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam mengadakan dan menjayakan bengkel itu.

    Menurutnya, bengkel itu banyak membantu mereka untuk lebih bersemangat, bersedia serta berkeyakinan dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

    Awang Mohammad Norilham turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pasukan pemenang acara Amazing Race yang diadakan semasa bengkel berkenaan dengan johan dimenangi oleh Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, naib johan disandang oleh Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan tempat ketiga disandang oleh Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali.

    Bengkel bermula kelmarin itu dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, melalui Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum dengan kerjasama Majlis Belia Brunei (MBB).

    Pemudah cara bagi bengkel diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Belia Brunei (MBB), Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari bersama ahli-ahli MBB yang lain.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...