KUCHING, 8 NOV – Usaha memelihara seni budaya bermukun di rantau ini giat dilaksanakan menerusi penganjuran Bermukun se-Borneo 2024 melibatkan Malaysia, Brunei dan Indonesia yang berlangsung di bandar raya ini.
Pengarah Bahagian Program Radio Jabatan Penyiaran Malaysia, Saifuzzaman Yusop berkata program silang budaya yang memasuki edisi ke-24 itu diharap dapat menarik penglibatan lebih ramai anak muda sebagai penyambung legasi bermukun.
“Setelah 24 tahun penganjuran Bermukun se-Borneo, hasilnya pada tahun ini, kita ada peserta muda berumur 20 dan 16 tahun yang berada dalam kumpulan bermukun kali ini.
“Dengan zaman teknologi masa kini, kita perlu teruskan usaha menyampaikan warisan kita secara dalam talian bagi memudahkan mereka mendapat maklumat di media sosial,” katanya dalam sidang media Bermukun se-Borneo 2024 di Auditorium Kecil RTM Kuching, hari ini.
Penyertaan melibatkan stesen penyiar negara masing-masing iaitu Malaysia diwakili Radio Televisyen Malaysia (RTM), Indonesia oleh Radio Republik Indonesia (RRI) dan Brunei diwakili Radio Televisyen Brunei (RTB).
Dalam pada itu, Ketua Unit HARMONIfm RTB, Noor Hawadah Ramle yang juga Ketua Delegasi RTB berkata pelbagai usaha dijalankan di Brunei bagi mencari pelapis muda untuk meneruskan legasi bermukun.
“Di Brunei sememangnya budaya bermukun yang berbentuk hiburan ini dimonopoli warga veteran namun saya akui ia semakin mendapat minat orang muda setelah penganjuran pertandingan dan bengkel di sekolah-sekolah,” katanya.
Turut hadir pada sidang media itu Pengarah Penyiaran Sarawak, Wan Azhan Wan Hamat dan Jabatan Fungsional Tertentu Ahli Madya RRI yang juga Ketua Delegasi, Diana Rusnawati. – Bernama