Sunday, May 5, 2024
29 C
Brunei

    -

    Bersama pelihara agama demi kesejahteraan negara

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mengilhamkan negara Melayu Islam Beraja (MIB) merupakan yang terbaik.

    Begitu juga tema sambutan Ilal Hijrah 1445 iaitu ‘Ugama Dipelihara, Negara Sejahtera’ sangat bertepatan dalam melahirkan kehidupan terbaik sekali gus akan menyumbang kepada kesejahteraan negara.

    Dekan Pelajar Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Mohd Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk menekankan perkara itu semasa menyampaikan tazkirah subuh sempena Sambutan Ilal Hijrah 1445 di Masjid Kampung Sungai Besar, hari ini.

    Beliau seterusnya menegaskan bahawa pendekatan unik berkenaan senang difahami rakyat malah Baginda telah banyak kali mengulangi dalam titah-titah Baginda dengan menekankan agar memelihara agama supaya negara dalam kesejahteraan.

    “Ia juga menjadi sukat-sukat dalam kehidupan agar tidak lalai dan sebab itulah sambutan bagi memperingati peristiwa hijrah di negara ini sentiasa diraikan sebagai landasan dan sasaran kehidupan kitani yang mempunyai azam dalam kehidupan yang perlu diperbaiki dan diperbaharui,” jelasnya.

    Dr Haji Mohammad Shahrol Azmi menyampaikan tazkirah subuh sempena Ilal Hijrah 1445 di Masjid Kampung Sungai Besar. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    ATAS & BAWAH: Antara yang hadir mendengarkan tazkirah berkenaan. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    Ilal hijrah juga mengingatkan supaya melakukan penghijrahan kepada yang terbaik terutama dalam mengingati Allah dan amalan terbaik ialah mendekatkan diri kepada Allah.

    Menurutnya, pendekatan bersabar, berikhtiar, bertawakal, dan berdoa dalam menangani sesuatu perkara dilihat yang terbaik terutama dalam menempuh suasana dunia yang penuh dengan ujian ini.

    Dr Haji Mohd Shahrol Azmi dalam tazkirah beliau juga berkongsi beberapa peristiwa Nabi junjungan dalam menghadapi dan menyelamatkan umat Islam dengan cara terbaik.

    Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1445 anjuran ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Besar itu telah dihadiri oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri selaku tetamu kehormat majlis.

    Turut hadir ialah Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut, Leftenan Kol (B) Haji Zaini bin Haji Damit dan Penasihat AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohidin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    AJK takmir masjid, Muslimah masjid, belia dan beliawanis serta para jemaah juga tidak melepaskan peluang dalam sama-sama memeriahkan Sambutan Ilal Hijrah bagi masjid berkenaan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pakistan catat hujan paling tinggi pada April dalam tempoh lebih 60...

    ISLAMABAD, 5 MEI - Pakistan mengalami bulan April paling banyak menerima curahan hujan sejak 1961, iaitu dua kali ganda hujan daripada biasa untuk bulan...