Sunday, May 19, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Manusia, monyet nikmati hubungan harmoni di China

    CHINA – Selama beberapa generasi, keluarga Tang tinggal di Taiping, sebuah kampung di Taman Rizab Alam Semula Jadi Negara Sungai Baihe, daerah Jiuzhaigou, wilayah Sichuan.

    Penduduk kampung hidup berdampingan dengan monyet hidung mancung emas selama berabad-abad, menikmati hubungan yang harmoni dengan haiwan tersebut dan mewariskan banyak legenda.

    “Dikatakan bahawa pada zaman dahulu, apabila seorang pemburu mengacukan pistolnya ke arah seekor monyet, ia akan segera mengambil anaknya dan kemudian membelakangkan dirinya daripada pemburu, seolah-olah memberitahu, ‘Jangan tembak anak saya’.

    Legenda itu telah diceritakan turun temurun, sehingga penduduk setempat tidak pernah memburu monyet hidung mancung emas dan haiwan itu menetap di kawasan itu,” kata Tang Yulin. “Setiap penduduk kampung sukakan monyet itu. Ia adalah tradisi.”

    Tang memerhatikan monyet hidung mancung emas itu bersama bapa dan bapa saudaranya, yang bekerja di kawasan taman rizab semasa dia masih kecil. Dia percaya bahawa, monyet sama seperti manusia, ia juga mempunyai pelbagai emosi, yang sangat dirasakannya.

    Tang Yulin bermain dengan beberapa ekor monyet. – Gambar ANN/China Daily
    Monyet emas Yuli, yang dinamakan oleh Tang Yulin, duduk di atas dahan. – Gambar ANN/China Daily
    Gambar ANN/China Daily
    Sekumpulan monyet hidung mancung emas duduk di atas dahan di Jiuzhaigou, wilayah Sichuan. – Gambar ANN/China Daily

    Dia berpendapat bahawa monyet mempunyai panggilan untuk menunjukkan sekurang-kurangnya tujuh emosi: ‘Pupu’ menandakan ketawa; ‘Jiajia’ menunjukkan kecemasan; ‘Aiai’ adalah ucapan; ‘Guga’ menunjukkan ketakutan; ‘Wawa’ adalah ajakan bermain; ‘Wuwu’ menggambarkan kebahagiaan; dan ‘Wowo’ ialah versi monyet untuk menjerit.

    “Gambar awak belum berhasil menangkap keindahan monyet. Lihatlah betapa menakjubkannya haiwan itu,” Tang memberitahu saya semasa kunjungan tersebut.

    Semasa perbualan kami, setiap kata-kata dan setiap gerakannya menggambarkan kecintaannya terhadap monyet, serta keinginannya agar lebih ramai orang memahami dan melindungi haiwan tersebut.

    Komitmen jangka panjang

    ApabilaTaman Rizab Alam Semula Jadi Negara Sungai Baihe ditubuhkan pada 1960an, bapa saudara Tang merupakan salah seorang kakitangan pertama yang berpindah ke sana. Dia menghabiskan lebih daripada 20 tahun di taman tersebut, melakukan rondaan di pergunungan setiap hari, mengawasi kesihatan monyet, mencegah kebakaran dan melindungi alam sekitar.

    Dipengaruhi oleh keluarganya, bapa Tang juga menjadi pakar monyet emas dan bekerja di taman tersebut selama lebih 20 tahun. Tang merupakan generasi ketiga keluarganya yang bekerja sebagai penjaga hutan di kawasan simpanan itu.

    Dia mengenali setiap jenis tumbuhan dan pokok di taman itu, yang telah memberinya nama jolokan ‘peta hidup’.

    Dia berkata taman itu meliputi lebih daripada 16,000 hektar, manakala banci terkini menunjukkan terdapat kira-kira 1,700 monyet hidung mancung emas tinggal di sana. Ia terbahagi kepada enam komuniti, setiap satunya adalah serupa dengan perkampungan manusia dan terdiri daripada beberapa keluarga.

    Terletak di daerah Jiuzhaigou, taman itu disatukan dengan Taman Negara Giant Panda, yang ditubuhkan pada 2017 sebagai program perintis.

    “Taman itu memiliki banyak haiwan liar yang dilindungi secara nasional, seperti beruang hitam, antelop, gazel Tibet dan panda gergasi,” kata Tang.

    “Terdapat juga beberapa spesies burung di bawah perlindungan negeri tahap satu, seperti monals Cina dan helang emas.”

    Monyet hidung mancung emas mendapatkan namanya daripada hidungnya yang melengkung ke atas, dan dibahagikan kepada lima spesies: monyet emas Sichuan; monyet emas Yunnan; monyet emas Guizhou; monyet emas Nujiang; dan monyet emas Vietnam.

    Tiga spesies pertama dalam senarai tersebut hanya ditemukan di China.

    Pada 22 Mei, Kementerian Ekologi dan Alam Sekitar dan Akademi Sains China bersama-sama mengeluarkan Senarai Merah Biodiversiti China: Vertebrata (2020), yang menurunkan status monyet emas Sichuan daripada terdedah menjadi hampir terancam.

    Senarai itu menunjukkan bahawa melalui usaha kolektif pelbagai zon perlindungan di China, bilangan monyet emas Sichuan di alam liar telah meningkat daripada 14,000 pada tahun 2002 kepada kira-kira 25,000, manakala taburan populasi telah berkembang dengan ketara, yang menggambarkan kejayaan usaha pemuliharaan.

    Tang mengatakan bahawa taman Baihe memiliki iklim yang lembap dan tumbuh-tumbuhan yang subur, yang berfungsi sebagai sumber makanan yang kaya untuk monyet, yang kebanyakannya memakan tumbuhan liar, buah-buahan dan sayur-sayuran.

    Monyet itu memakan daun pokok lembut pada musim bunga, buah liar pada musim luruh dan kulit pokok untuk bertahan hidup pada musim sejuk yang keras.

    “Jadi, melindungi alam sekitar di sini adalah cara terbaik untuk melindungi monyet emas Sichuan. Pencegahan kebakaran adalah tumpuan utama,” kata Tang, sambil menyatakan bahawa tiada kebakaran telah dilaporkan di taman Baihe selama lebih 40 tahun. – ANN/China Daily

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...