Friday, May 3, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    BEST meriahkan TBC bersama 31 kanak-kanak

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 27 JAN – Seramai 31 kanak-kanak kurang bernasib baik daripada 10 buah keluarga dari seluruh negara telah diceriakan pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) yang dianjurkan Best Integrated Engineer Solution and Supplies Sdn Bhd (BEST), hari ini.

    Pada majlis yang diadakan di perkarangan bangunan syarikat tersebut di Kawasan Perindustrian Ringan Belait itu, kanak-kanak berkenaan bersama ibu bapa dan penjaga mereka dialu-alukan oleh Pengarah Urusan BEST, Felicia Yong Siaw Nee.

    Dalam ucapan alu-aluannya, beliau menyampaikan ucapan terima kasih kepada Halwun Rezqin dan perwakilannya yang hadir pada majlis itu.

    Menurutnya, pertubuhan bukan kerajaan tersebut bermatlamat untuk menyokong masyarakat yang memerlukan menerusi sumbangan-sumbangan atau infak, dan bersama syarikat berkenaan telah bekerjasama rapat untuk membawa kanak-kanak kurang berkemampuan berkenaan menghadiri dan meraikan sambutan tersebut.

    Beliau menambah, di samping hiburan dan hidangan yang disajikan, pelbagai barang keperluan sekolah dan sumbangan telah diberikan kepada kanak-kanak berkenaan untuk menceriakan mereka selain membantu keluarga-keluarga mereka.

    Felicia Yong bersama perwakilan daripada Halwun Rezqin menyampaikan sumbangan kepada penerima.
    Danny Yong menyampaikan sumbangan kepada penerima pada majlis berkenaan.
    Perwakilan Halwun Rezqin menyampaikan cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada Felicia Yong dan Danny Yong.

    “Pihak syarikat berharap dengan bantuan seumpamanya, ia akan sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan keluarga dan kanak-kanak dalam mendapatkan keperluan persekolahan.”

    Seterusnya, beliau bersama Pengarah Jualan BEST, Danny Yong menyampaikan sumbangan dan barang keperluan sekolah kepada kanak-kanak dan ibu bapa serta penjaga mereka.

    Sebagai tanda penghargaan, salah seorang wakil Halwun Rezqin, Dayang Normarkartina binti Hassem juga menyampaikan hadiah buatan tangan oleh pertubuhan berkenaan kepada ahli-ahli lembaga pengarah dan kakitangan syarikat atas sumbangan mereka kepada keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan.

    Ketika ditemui, Felicia Yong menambah bahawa sambutan berkenaan juga menandakan satu lagi peristiwa penting bagi syarikat berkenaan setelah sudah tiga tahun syarikat berkenaan berpindah ke bangunan baharu yang juga dirasmikan semasa Sambutan
    Tahun Baharu pada 2020.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...