KAHERAH, 30 OKT – Sebuah bot yang membawa 13 pendatang Mesir ke Eropah terbalik di luar pantai Libya, menyebabkan semua penumpang terkorban kecuali seorang, kata pihak berkuasa tempatan dan kumpulan Libya kelmarin.
Al-Abreen, kumpulan yang memberikan bantuan kemanusiaan kepada pendatang di Libya, berkata di Facebook bahawa bot itu terbalik 60 kilometer di timur bandar Tobruk pada petang Isnin.
Seorang pendatang terselamat, menurut kumpulan itu, manakala mayat yang lain telah ditemui dan dibawa ke darat.
Direktorat Membanteras Migrasi Haram di Tobruk turut mengesahkan kejadian itu.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara Afrika Utara itu menjadi titik transit utama bagi pendatang yang melarikan diri dari peperangan dan kemiskinan di Afrika dan Timur Tengah.
Bulan lalu, sebuah bot pendatang yang membawa 32 orang terbalik di luar pantai Libya akibat kegagalan enjin, menyebabkan seorang disahkan maut dan 22 lagi dilaporkan hilang, menurut pihak berkuasa Libya. Pengawal pantai di Tobruk berkata sembilan orang berjaya diselamatkan. Al-Abreen berkata bot itu menuju ke Eropah dan membawa pendatang dari Mesir dan Syria. – AP