Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Negara Brunei Darussalam terus menekankan usaha ke arah mencapai sasaran komitmen di bawah Perjanjian Paris dengan pelancaran Direktif Laporan Mandatori bagi Gas Rumah Hijau (GHG) yang berlangsung di Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
Hadir menyempurnakan pelancaran direktif berkenaan ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Bersama Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato menjelaskan Direktif Laporan Mandatori bagi GHG bermatlamat untuk menubuhkan pengesahan, pelaporan dan keperluan lain bagi kesemua kemudahan yang mengeluarkan dan/atau menyingkirkan pelepasan GHG termasuk dalam rantaian aktiviti yang merangkumi jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat sektor swasta di mana ia perlu dilakukan bagi setiap suku tahun dan secara tahunan.
Yang Berhormat Dato menerangkan direktif itu telah dibangunkan dengan matlamat untuk menjelaskan tanggungjawab dan peranan pemimpin sektor dalam menyatukan, memastikan dan menyediakan data berkualiti tinggi.
“Ia adalah harapan kita bahawa direktif ini akan menggalakkan pembangunan pegawai-pegawai dan pemimpin sektor masa hadapan yang mahir dalam pelaporan GHG,” ujarnya.
Beliau seterusnya menyatakan pelaksanaan direktif itu adalah penting dalam menangani cabaran-cabaran iklim kita dan jelas menunjukkan dedikasi kerajaan kepada ketelusan serta akauntabiliti dan pada masa yang sama, membolehkan kita untuk memenuhi kewajipan kebangsaan dan antarabangsa.
Tahun 2023 merupakan tahun pertama bagi semua kemudahan-kemudahan yang mengeluarkan dan/atau menyingkirkan GHG termasuk pihak-pihak berkepentingan yang terdiri dari jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat sektor swasta untuk menghadapkan Laporan Mandatori bagi GHG pada setiap suku tahun dan secara tahunan.
Direktif itu adalah selaras dengan objektif strategi 9 mengenai Inventori Karbon dalam Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam bagi mempertingkatkan ketelusan dan kelengkapan data dalam pengiraan GHG negara.
Ia memainkan peranan yang penting bagi membantu Negara Brunei Darussalam mencapai sasaran komitmen di bawah Perjanjian Paris iaitu mengurangkan jumlah pelepasan GHG sebanyak 20 peratus berbanding tahap business-as-usual menjelang 2030.
Dalam meningkatkan lagi komitmen tindakan iklim, sasaran negara adalah ke arah sifar bersih menjelang 2050 melalui peralihan tenaga dan pemeliharaan hutan.
Pematuhan penuh semua kemudahan termasuk agensi kerajaan dan sektor swasta yang berkenaan kepada direktif adalah penting selaras dengan usaha Negara Brunei Darussalam untuk menangani perubahan iklim.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Perubahan Iklim terdiri daripada setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua pegawai eksekutif, pengarah urusan dan presiden daripada pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).