Sunday, May 5, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    China ‘kurung’ 9 juta penduduk

    SHANGHAI, 11 MAC – Bandar di timur laut China yang mempunyai sembilan juta penduduk diarahkan untuk terus berada di rumah hari ini, ketika pihak berkuasa berusaha untuk menghentikan penularan baharu COVID yang menyaksikan jumlah kes tertinggi di seluruh negara dalam masa dua tahun.

    Changchun, ibu kota wilayah Jilin dan pangkalan industri penting, mengarahkan penduduknya untuk bekerja dari rumah. Hanya seorang daripada isi rumah dibenarkan untuk keluar setiap dua hari untuk membeli ‘keperluan harian’ dan berkata ia akan menjalankan ujian besar-besaran.

    Selepas varian Omicron yang mudah berjangkit menular di China, kes COVID di seluruh negara meningkat melebihi angka 1,000 pada minggu ini buat kali pertama sejak pandemik dikesan pada 2020, kurang 100 kes dicatatkan pada tiga minggu sebelumnya.

    Sebanyak 1,369 kes dicatatkan di seluruh negara di lebih 12 buah wilayah, menurut angka rasmi yang diterbitkan hari ini.

    Sementara itu, Shanghai turut mengarahkan sekolah untuk ditutup dan memulakan pembelajaran secara dalam talian.

    COVID mula dikesan di China pada akhir 2019 dan pihak kerajaan berjaya mengawal penularan melalui pelaksanaan perintah berkurung dan ujian besar-besaran, serta menutup sebahagian besar sempadannya.

    Hasilnya kes jangkitan menurun dengan cepat mengikut standard antarabangsa.

    Tetapi pendekatan agresif telah menyebabkan keletihan pandemik di China.

    Agensi pusat perancangan ekonomi negara itu baru-baru ini memberi amaran bahawa pelaksanaan perintah berkurung besar-besaran akan memberi kesan kepada ekonomi, dan pakar saintis terkemuka China berkata bahawa negara itu perlu menyasarkan untuk hidup bersama dengan virus, seperti negara lain.

    Kerajaan telah melaburkan dana untuk mengawal COVID, namun pendekatan hari ini menunjukkan harapan bahawa China akan menghapuskan langkah sifar toleransi. – AFP

    Orang ramai beratur untuk menjalani ujian koronavirus sebagai sebahagian daripada ujian besar-besaran yang dilaksanakan di Shanghai. Sembilan juta penduduk di bandar timur laut China diarah terus berada di rumah ekoran lonjakan penularan kes harian.- AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...