Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Diganggu makhluk pangsapuri

    Oleh Awei – 

    Sheila, Maria dan Candy adalah kawan rapat dan tinggal serumah di dalam sebuah pangsapuri 10 tingkat yang turut didiami oleh lebih kurang 15 ahli keluarga yang lain.

    Rumah mereka tinggal berada di tingkat sembilan sementara tingkat 10 baru saja dikosongkan setelah berlaku kematian di mana salah seorang penghuni dalam keluarga tersebut meninggal dunia akibat terjun dari tingkap.

    Dari apa yang diketahui oleh Sheila, Maria dan Candy, mangsa yang meninggal itu adalah anak perempuan sulung dalam keluarga tersebut. Puncanya apabila orang tua anak perempuan itu tidak bersetuju perhubungan anaknya dengan seorang jejaka pilihannya yang tiada mempunyai pekerjaan lagipun dia merupakan bekas penagih dadah.

    Sejak kematiannya, keluarga tersebut selalu diganggu dengan bermacam-macam kejadian yang menakutkan menyebabkan mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk berpindah dari situ kerana tidak sanggup lagi menetap di sana. Kini rumah tersebut kosong dan tiada tanda akan ada orang yang akan menghuninya.

    Berita kematian di pangsapuri tersebut menimbulkan bermacam- macam masalah bagi penghuni-penghuni di situ apabila digemparkan dengan kejadian-kejadian pelik. Ada antara penghuni di situ pernah terserempak dengan jelmaan seorang perempuan berbaju labuh putih menaiki tangga tanpa menampakkan mukanya kemudian hilang di sebalik dinding.

    Gambar Freepik

    Ada juga peristiwa suara orang ketawa di dalam rumah mangsa.

    Pernah salah seorang suri rumah penghuni pangsapuri diganggu ketika sedang mencuci pinggan apabila tiba-tiba muncul seorang wanita di luar tingkap sambil senyum membuatkan suri rumah tersebut terkejut dan terpaksa ditahan di wad selama beberapa minggu.

    Lain pula hal dengan Sheila, Maria dan Candy, mereka tidak begitu kisah dengan semua cerita yang diberitahu kepada mereka kerana selama ini tidak pernah mengalami apa-apa kejadian yang pelik atau menakutkan.

    Sheila, Maria dan Candy bekerja di kilang membuat baju di mana mereka selalu sahaja keluar dan balik bersama-sama. Mereka bekerja mula jam 9 pagi dan balik lewat malam dan paling lewat pun mencecah jam 11:30 malam dengan menaiki sebuah bas yang telah disediakan oleh pihak kilang. Kerja mereka tak tentu masa, jika tempahan begitu banyak alamatnya hingga ke subuhlah mereka bekerja. Mereka hanya mempunyai waktu terluang pada hujung minggu sahaja kerana waktu itu mereka off day. Jadinya dapatlah mereka merehatkan badan dan pergi membeli belah sambil bersiar-siar di bandar.

    Kini sebulan sudah berlalu peristiwa kematian itu. Seperti biasa Sheila, Maria dan Candy pulang lewat kerana tempahan baju untuk dieksport terlalu banyak dan perlu dihantar keesokan paginya ke pelabuhan. Mereka pulang jam 2 subuh dan sampai di perkarangan pangsapuri tepat pukul 2:30 pagi. Setiba sahaja mereka di hadapan pangsapuri tempat mereka tinggal, keadaan begitu sunyi dan sepi maklumlah semua penghuni pangsapuri sedang tidur.

    Hanya sinaran lampu letak kereta dan tangga sahaja yang menerangi kawasan itu. Tanpa banyak bicara dan keadaan badan pula terlalu letih, mereka mula melangkah untuk menuju ke tangga. Kali ini mereka terpaksa menaiki tangga kerana lif waktu itu tidak berfungsi disebabkan mengalami kerosakan dan dalam penyelenggaraan.

    Sebaik sahaja mereka menghampiri tangga; Sheila tiba-tiba terpandang ‘seseorang’ sedang memasuki lif tetapi dia tidak dapat melihat orang itu kerana lampu kelihatan samar-samar. Maria dan Candy terhenti apabila menyedari rakan mereka itu tercegat dengan tiba-tiba sambil mukanya memandang ke arah lif. Mereka pun bertanya kepada Sheila jika ada sesuatu yang tidak kena tetapi Sheila hanya menggelengkan kepala tanda tiada apa-apa.

    Kemudian mereka meneruskan langkah mereka untuk menaiki tangga. Di pertengahan antara tingkat enam dan tujuh, mereka dikejutkan dengan bunyi tapak orang berjalan.

    Mulanya mereka tidak menghiraukan kerana mungkin ada penghuni lain baru balik dari bertugas. Apabila mereka semakin hampir di tingkat enam bunyi tapak kaki itu semakin kuat seolah-olah berada di hadapan mereka. Bila mereka berada di tingkat enam, tiada seorang pun ada di situ namun kini bunyi tin gugur menimpa anak-anak tangga entah dari tingkat mana datangnya mereka tidak tahu.

    Mereka beristighfar dan berjalan rapat di antara satu sama lain kerana takut. Sampai sahaja di dalam rumah, mereka bertiga terus masuk ke bilik masing-masing dan tidur dengan berpakaian kerja. Mujurlah keesokan hari mereka off day.

    Malamnya, ketika mereka sedang menonton televisyen tiba-tiba kedengaran ada orang mengetuk pintu. Tanpa berlengah, Maria terus bangkit dari duduknya lalu berjalan menuju pintu. Apabila pintu dibuka, tiada seorang pun kelihatan hanya sinaran lampu yang memancar suasana. Maria mula menganggap mungkin perbuatan kanak-kanak nakal mengetuk pintu tersebut. Tidak lama kemudian, ketukan itu kembali lagi tetapi kali ini dengan lebih kuat. Dengan perasaan marah Candy pula bangun dan terus menuju ke pintu dengan tujuan ingin memarahi dan menasihati mereka supaya tidak memanggu merekalagi. Bila pintu dibuka, sekali lagi tiada seorang pun yang kelihatan. Dengan berani Candy keluar untuk mencari mana tahu mereka bersembunyi di sebalik dinding.

    Sudah puas dia mencari namun tidak jumpa. Sedang asyik mencari-cari, tiba-tiba muncul sebatang tubuh berbalut dengan kain putih sedang memerhatikannya sambil melompat-lompat mengelilingi kawasan beranda depan tingkat 10.

    Sheila dan Maria yang asyik menonton televisyen terkejut apabila mendengar suara teriakan Candy di luar. Dengan pantas mereka keluar untuk melihat apa yang sedang berlaku. Setiba sahaja di luar, kelihatan Candy terbaring tidak sedarkan diri dengan berlumuran darah di dahinya kerana terhantuk pada anak tangga. Mereka terpandang sebatang tubuh berbalutkan kain putih itu menampakkan mukanya lalu terbang menghilang diri. Mereka beristighfar seketika lalu mengangkat Candy ke dalam kemudian Maria berlari keluar kembali untuk meminta pertolongan jiran mereka.

    Hampir sejam berlalu, barulah Candy sedarkan diri tapi keadaannya masih pucat dan menggeletar, walaupun darah yang mengalir di dahinya tadi kelihatan sudah reda. Setelah dinasihati oleh jiran mereka, mereka pun bersetuju membawa Candy ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. Kini barulah Sheila dan Maria percayakan kebenaran cerita-cerita yang mereka dengar selama ini.

    Kini peristiwa penghuni pangsapuri diganggu tidak lagi kedengaran kerana ada antara penghuni pangsapuri itu telah meminta pertolongan dari tempat perubatan Islam untuk menghalau makhluk tersebut daripada terus menganggu mereka. Sheila, Maria dan Candy kini tidak lagi tinggal serumah kerana masing- masing telah balik kampung kerana mereka tidak lagi bekerja di kilang tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda