Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Disorok oleh kalindahau

    Oleh Kasz Kartolo –

    Kira-kira pukul 11:45 pagi, tiba-tiba aku dikejutkan oleh deringan telefon. Ketika itu aku dan suamiku sudah mahu meninggalkan rumah untuk menghantar anakku yang bersekolah di sebelah petang. Aku segera buka pintu semula untuk menjawab telefon itu. Kedengaran suara Haji Mamat, pemandu bapa mertuaku.

    “Si Azim ada disana?” tanyanya.

    “Eh…inda ada…mengapakan?” tanya ku lagi dengan kehairanan sebab mereka dirumah jarang bertanyakan mengenai Azim.

    “Dah lama cari-cari ni. Belum lagi jumpa. Lagipun sekolah esok cuti.Tadi Pengiran ada ke mari jadi ku sangka Azim pergi ikut Pengiran ke Jerudong kerana mahu ikut Jazmin ke Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC)”, terang Haji Mamat panjang lebar tentang kehilangan Azim.

    Jazmin merupakan rakan satu kelas dengan Azim dan mereka dipilih oleh pihak sekolah untuk menyertai kejohanan akademik dan latihan dijalankan di ICC.

    Gambar Freepik

    “Tapi Haji, latihannya esok. Bukan hari ini,” jelasku. “Nanti kami singgah ke rumah. Cari dulu di bilik babunya atau dibilik neneknya?”

    Selepas panggilan itu hatiku agak gusar kerana perangai Azim ini walaupun tidak mahu ke rumah, dia tidak akan bermain sembunyi-sembunyi. Dengan Haji Mamat, Azim takut sedikit.

    Aku terus memberitahu suamiku, dan dia pun turut hairan kerana takkan Azim tahan bertapuk lama-lama.

    Setelah menghantar anakku ke sekolah dan mengambil anakku yang sulung bersekolah di waktu pagi, kami pun terus ke rumah mentuaku. Setibanya di sana keadaan tidak menentu kerana masih sibuk mencari Azim. Ku lihat riak wajah ibu mentuaku semakin cemas.

    Abang Azim teriak-teriak memanggil nama Azim. Hal ‘kehilangan’ Azim telah disampaikan kepada bapanya dan ibunya yang dalam perjalanan balik dari tempat bekerja. Sekejap-sekejap deringan telefon dari bapa Azim memecah kekusutan waktu.

    “Cari lagi ke setiap bilik,” ujarku pada anak-anak buahku. “Setiap almari periksa, jangan tinggal satu tempat pun,” aku terus mengarah mereka. Secepat kilat kaki mereka beredar dan kedengaran keriuhan suara mereka memanggil-manggil nama Azim.

    Pembantu rumah kakak iparku kelihatan pucat kerana takut dipersalahkan. Lagipun dia baru bekerja di rumah itu. Aku pujuk supaya jangan cemas dan takut kerana tiada orang akan menyalahkannya. Barulah tenang sedikit riak wajahnya.

    “Dah satu jam lebih…. Mustahil tak dengar dan jumpa,” bisikku ke arah suamiku. “Pasti ada sesuatu yang tak kena…..Takkan kecoh macam pun masih ia belum keluar?”

    “Ada baiknya kita laungkan azan,” suamiku bercakap setelah berfikir sejenak. Aku pula masih mahu mencari apa sebabnya semua ini.

    Ini disebabkan perkara yang sama pernah berlaku pada Azim ketika dia bersekolah tadika.

    Pada hari itu, bapanya berpesan kepada aku untuk mengambilnya dari sekolah. Selalunya Azim dan Jazmin akan berada di tempat menunggu bersama-sama.

    Pada hari itu dia tidak bersama Jazmin. Aku bertanya pada anakku di mana Azim, dan diapun tidak tahu. Puas ku mencari Azim di kawasan kanak-kanak selalu bermain, di tandas dan di tempat menunggu tapi tak juga jumpa. Akhirnya aku tanya gurunya.

    Yang hairannya gurunya memberitahu bahawa ada orang sudah membawa Azim pulang.

    Ah…mungkin Haji Mamat sudah membawanya pulang. Tapi bila tiba di rumah mertuaku, didapati Azim belum pulang. Ketika aku dan suamiku bercadang untuk balik semula ke sekolah, bapa Azim pun balik dari kerja.

    Aku terus memberitahu perkara itu kepadanya. Abang iparku pun ke sekolah dan apabila tiba disana dilihatnya Azim sedang duduk seorang diri dibangku tempat menunggu. Setiba di rumah sibuk kami bertanya kepadanya adakah dia bermain atau ke tandas waktu aku menjemputnya tadi.

    “Inda, alai duduk-duduk saja tunggu tua ambil,” jawabnya selamba. Kami semua merasa hairan kerana agak mustahil aku tidak nampak dia duduk di bangku. Sedangkan gurunya pun memberitahu dia melihat Azim balik dengan ‘seseorang’.

    Berbalik kepada kejadian ini, aku cadangkan pada ibu mentuaku supaya membakar kulit-kulit bawang kerana aku pernah diajar bahawa bau kulit-kulit bawang ini sangat pahit dan ditakuti oleh makhluk halus.

    Ibu mentuaku pun terus mengumpul kulit-kulit bawang dan membakarnya. Ketika ibu mertuaku sibuk didapur, kami mencuba sekali lagi mencari Azim di dalam bilik kakak iparku.

    Almari demi almari kami buka, bantal diperiksa, dilihat bawah katil, atas katil dan seluruh pelusuk bilik sambil memanggil-manggil nama Azim. Namun usaha kami gagal. Ketika kami hendak turun ke tingkat bawah rumah, bapa mentuaku naik ke atas lalu masuk ke bilik kakak iparku.

    Azim belum lagi dapat dijumpai.Mulut bapa mentuaku tidak henti-henti membaca surah Al-Quran. Kami semakin gelisah kerana sudah begitu lama Azim menghilangkan diri.

    Sebagai langkah berjaga-jaga sepupu suamiku dan juga jiran mentuaku, pergi ke tebing sungai untuk meninjau-ninjau keadaan di sana kerana di belakang rumah terdapat sebatang sungai yang sederhana besar.

    Apabila aku naik sekali lagi ke tingkas atas,bapa mentuaku pun keluar dari bilik kakak iparku. Entah..berapa lama bapa mentuaku didalam bilik itu, aku pun kurang pasti.

    Yang pasti ketika dia keluar dia pun memberi isyarat kepada aku bahawa Azim ada di dalam bilik ibunya.

    “Apa..dalam bilik?” suaraku agak tinggi kerana kehairanan. Tak mungkin… bisik hatiku kerana habis pelusuk bilik kakak iparku kami geledah tak juga jumpa.

    “Tidur…,”kata bapa mentuaku selamba. Ibu mentuaku bergegas masuk ke bilik diikuti oleh kami seisi rumah.

    Alangkah terkejutnya kami melihat Azim sedang tidur dengan nyenyaknya dengan hanya ditutupi oleh sebiji bantal yang saiznya kecil dari tubuhnya.

    Kami merasa hairan dan mustahil tidak melihat Azim. Mustahil…. Bisik abangku kerana dia sendiri telah menepuk dan menarik-narik bantal di atas katil ibunya.

    “Shhh….Diam…,” ujar ibu mentuaku sambil membangunkan Azim perlahan-lahan.

    “Azim….Mengapa alai inda menyahut ketika orang memanggil Azim?” tanya ibu mentuaku lembut.

    “Mana alai dengar…. Alai tidur,” jawabnya selamba. Ketika itu juga mukanya menjadi pucat dan tiba-tiba matanya memandang keadaan di sekelilingnya dengan agak liar seolah-olah dia sedang takut. Cepat-cepat ibu mentuaku mengambil air lalu membasahkan air ke muka Azim sambil membaca selawat.

    Tidak lama kemudian Azim mula terasa haus dan badannya lemah. Kekadang dalam diam-diam itu Azim tersengih seolah-olah ada kelucuan.

    Apabila bapanya dan ibunya tiba ke rumah kami bapanya menyuruh untuk membaca selawat dan ditapus ke muka Azim berkali-kali.

    Haji Mamat menyuruh bapa mentuanya menawari Azim. Barulah keadaannya agak tenang dan mula terasa lapar.

    Bila keadaan sudah tenang, kami ajukan pertanyaan kepada Azim dan dia agak gugup dan takut. Namun, babunya bertanya dan dia pun memberitahu bahawa ada lembaga berwajah hodoh dan buruk duduk di luar rumah dan memandang terus tepat kepadanya.

    Lembaga itu berpakaian serba coklat dan duduk bercanggung.

    Azim menjadi bertambah takut kerana lembaga itu terus memandangnya dengan pandangan yang tajam. Kerana ketakutan, Azim naik ke tingkat atas dan masuk ke bilik babunya. Selalunya Azim tidak akan naik ke atas atau ke bilik babunya kalau tidak ada orang di atas. Selalunya sebelah pagi rumah ibu mentuaku sunyi kerana ada yang bersekolah dan bekerja.

    Di dalam suasana yang agak hingar-bingar tadi ada aku mendengar bisikan ibu mertuaku yang mengatakan kemungkinan Azim ditapuk oleh hantu Kkalindahau…..

    Wallahuaklam……

    Namun menurut kepercayaan orang tempatan hantu kalindahau ini ialah hantu…. Mungkin perempuan yang mempunyai buah dada yang besar.

    Menurut cerita orang-orang tua hantu kalindahau ini akan menyembunyikan atau ‘menapuk’ orang dibawah buah dada yang besar itu sehinggakan orang-orang yang kena ‘tapuk’ tidak kelihatan sama ada ketika itu orang berkenaan di sebelah pintu atau dimana-mana saja seperti kejadian yang menimpa anak saudara saya.

    Orang yang ditapuk itu dapat melihat dan mendengar orang yang mencarinya tapi tidak dapat berbuat apa-apa.

    Walau apapun, apa yang terjadi seperti yang diceritakan di atas adalah atas izin datang dari Allah SWT jua dan dalam apa-apa masalah..hanya kepadaNya jua kita meminta bantuan dengan iringan doa….Wallahuaklam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda