Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan perlawanan Liga Super Brunei (BSL) 2024/2025 di antara DPMM FC menentang MS PPDB di Stadium Mini Hassanal Bolkiah, hari ini.
Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim mengetuai pasukan yang sedang memburu gelaran itu sebagai kapten dan membantu pasukan DPMM FC menang 2-0.
Pemain import pasukan DPMM FC memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan kelapan berturut-turut hasil jaringan separuh masa kedua daripada Marcelo Junior De Souza Loiola dan Sergio Mendiguchia Iglesias.
DPMM FC kini mendahului liga dengan kelebihan dua mata selepas Kasuka FC kehilangan kedudukan teratas selepas terikat seri 2-2 menentang Indera SC.