Sunday, May 5, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    Dua program kejuruteraan UTB diiktiraf antarabangsa

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah berjaya memperoleh akreditasi daripada institut terkenal dunia, Institution of Mechanical Engineers (IMechE) United Kingdom (UK) pada Oktober 2022 bagi program ijazah muda dan ijazah sarjana yang ditawarkan oleh Mechanical Engineering Programme Area, Fakulti Kejuruteraan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UTB, di sini, program Sarjana Muda Kejuruteraan (kepujian) dalam Kejuruteraan Mekanikal yang diakreditasi akan memenuhi sebahagian keperluan penanda aras akademik bagi pendaftaran sebagai seorang jurutera bertauliah (CEng) dan secara automatik memenuhi sepenuhnya keperluan penanda aras akademik bagi pendaftaran sebagai seorang jurutera diperbadankan (IEng), kedua-duanya dengan Majlis Kejuruteraan UK.

    Akreditasi berkenaan juga diberikan kepada program Sarjana Sains (kerja kursus) dalam Kejuruteraan Mekanikal yang memenuhi keperluan pembelajaran bagi pendaftaran CEng.

    Oleh itu, graduan-graduan daripada program sarjana sains diakreditasi yang mempunyai sarjana muda kejuruteraan yang diakreditasi juga akan memenuhi asas pendidikan bagi pendaftaran Jurutera Bertauliah dengan Majlis Kejuruteraan UK.

    Pelajar semasa mengikuti program Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Teknologi Brunei. – Gambar serahan UTB

    Pencapaian itu merupakan bukti bahawa program-program kejuruteraan mekanikal UTB telah memperoleh standard yang dikenali antarabangsa dan graduan-graduannya mempunyai ilmu pengetahuan, kefahaman dan kemahiran diperlukan untuk menyelesaikan masalah-masalah kejuruteraan yang kompleks. Ia adalah selaras dengan keperluan perjanjian antarabangsa Washington Accord dan menyokong matlamat pembangunan mampan bagi pendidikan berkualiti.

    Ketua Program Kejuruteraan Mekanikal UTB, Ir Dr Denni Kurniawan memberikan penghargaan kepada kakitangan dan pelajar-pelajar bidang program berkenaan serta pengurusan UTB bagi pencapaian itu. Beliau menambah bahawa sokongan kuat yang diberikan oleh Lembaga Penasihat Industri (IAB) yang mana ahli-ahlinya merupakan kapten industri di Brunei dan IMechE Brunei Group memberikan tanda jaminan bahawa program-program kejuruteraan mekanikal memenuhi standard yang ditetapkan oleh profesion berkenaan.

    Industri kejuruteraan akan juga meraih manfaat daripada peluang-peluang pembangunan profesional berterusan yang disediakan oleh program Postgraduate Micro-credentials UTB di mana modul-modul berkenaan dalam Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal yang diakreditasi, boleh diambil secara individu oleh orang ramai.

    Dekan Fakulti Kejuruteraan, Profesor Ir Dr Ramesh Singh Kuldip Singh menambah, pencapaian akreditasi IMechE UK itu merupakan mercu tanda yang signifikan bagi universiti dan negara.

    Beliau menekankan bahawa fakulti berkenaan adalah komited kepada pengiktirafan dan pembangunan amalan baik dalam pendidikan kejuruteraan. Beliau percaya bahawa program-program kejuruteraan yang ditawarkan di UTB adalah berkualiti tinggi dan mampu untuk melahirkan graduan holistik bagi industri.

    Dengan pencapaian itu, UTB menyertai barisan universiti-universiti yang mantap di UK dan antarabangsa yang mana program-program ijazah mereka menepati standard tinggi yang ditetapkan oleh UK Standard for Professional Engineering Competence Majlis Kejuruteraan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...