Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekonomi Brunei dijangka terus meningkat pada 2024

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dalam kenyataan dasar pertama bagi 2024 mengumumkan bahawa unjuran ekonomi global oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan terus berkembang pada kadar 3.2 peratus untuk tahun 2024 dan 2025, sama seperti 2023.

    Sementara itu, ekonomi domestik Brunei pula meningkat sebanyak 6.8 peratus pada suku pertama 2024, didorong oleh peningkatan 8.9 peratus dalam sektor minyak dan gas serta 5 peratus dalam sektor bukan minyak dan gas.

    BDCB menjangkakan ekonomi Brunei akan terus bertambah baik pada 2024 walaupun terdapat risiko penurunan disebabkan ketidakpastian harga komoditi dan tahap pengeluaran minyak serta gas asli cecair (LNG) yang rendah. Walaupun terdapat jangkaan pelonggaran dasar monetari pada akhir 2024, Monetary Authority of Singapore (MAS) menyatakan akan mengekalkan dasar monetarinya.

    BDCB mengunjurkan kadar inflasi Brunei pada 2024 adalah dalam lingkungan -0.5 peratus hingga 0.5 peratus. Sektor kewangan Brunei mencatat peningkatan 2.9 peratus dengan nilai aset keseluruhan $24.6 bilion pada suku pertama 2024, di mana $14.5 bilion adalah aset kewangan Islam.

    Institusi penerima deposit menyumbang 91.7 peratus kepada jumlah keseluruhan aset sektor kewangan, dengan nilai aset $22.5 bilion. Kedudukan modal industri perbankan kekal stabil dengan Nisbah Kecukupan Modal 20.9 peratus pada suku pertama 2024, walaupun terdapat sedikit penurunan dalam pulangan keuntungan.

    BDCB telah meminda Garis Panduan bagi Pengeluaran Debentur untuk memudahcara penggunaan ASEAN Sustainability-Linked Bonds Standards dan mengeluarkan Garis Panduan bagi Kaji Selidik Pelaporan Data Tenaga Kerja Sektor Kewangan untuk mendapatkan maklumat mengenai permintaan tenaga kerja dan mengenal pasti jurang kemahiran dalam sektor kewangan.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda