Saturday, May 4, 2024
24 C
Brunei

    -

    Google, Meta didenda cabul kerahsiaan peribadi

    SEOUL, 14 SEPT – Korea Selatan mengenakan denda lebih AS$71 juta secara keseluruhan terhadap Google dan Meta kerana mengumpul maklumat peribadi pengguna tanpa kebenaran bagi tujuan pengiklanan.

    Jumlah berkenaan adalah denda tertinggi yang pernah dikenakan di negara itu dalam kes perlindungan data.

    Suruhanjaya Perlindungan Maklumat Peribadi Korea Selatan berkata siasatan terhadap dua gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu mendapati mereka ‘mengumpul dan menganalisis’ data pengguna, serta memantau penggunaan laman sesawang dan aplikasi.

    Katanya, data itu digunakan untuk mengenal pasti kecenderungan pengguna atau bagi tujuan pengiklanan dalam talian secara bersasar.

    Menurut suruhanjaya itu, Google dan Meta tidak memberitahu pengguna Korea Selatan secara jelas mengenai amalan berkenaan atau mendapatkan kebenaran mereka.

    Yoon Jong In, pengerusi Suruhanjaya Maklumat dan Perlindungan Peribadi bercakap semasa sesi pleno di Kompleks Kerajaan di Seoul, Korea Selatan kelmarin. – AP

    Disebabkan itu, Google dikenakan denda berjumlah AS$49.7 juta manakala Meta didenda AS$22.1 juta.

    “Ini adalah denda terbesar yang pernah dikenakan kerana melanggar Akta Perlindungan Maklumat Peribadi,” katanya dalam satu kenyataan.

    Menurut suruhanjaya itu, majoriti pengguna di Korea Selatan, merangkumi 82 peratus pengguna Google dan 98 peratus Meta, tanpa disedari membenarkan data penggunaan dalam talian mereka dikumpul.

    “Boleh dikatakan kemungkinan dan risiko pelanggaran hak pengguna adalah tinggi,” katanya.

    Tahun lalu, Korea Selatan mendenda Google hampir AS$180 juta kerana menyalah gunakan penguasaannya dalam pasaran sistem operasi telefon pintar dan aplikasi, dengan mendakwa syarikat itu menyekat persaingan dalam pasaran. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...