MANCHESTER, UNITED KINGDOM, 1 SEPT – Pep Guardiola telah mencabar Erling Haaland agar menjadi legenda Manchester City selepas penyerang antarabangsa Norway itu meledak hatrik kali kedua berturut-turut ketika kelabnya memberi inspirasi kepada kemenangan 6-0 ke atas Nottingham Forest pada hari ini.
Haaland menghukum Forest dengan meledak hatrik selepas 26 minit pada separuh masa pertama di Stadium Etihad, hanya empat hari selepas dia menjaringkan tiga gol ketika menentang Crystal Palace.
Pemain berusia 22 tahun itu menjadi pemain pertama dalam era Liga Perdana yang menjaringkan sembilan gol dalam lima penampilan pertamanya dalam pertandingan itu, memecahkan rekod yang dikongsi oleh bekas legenda City Sergio Aguero dan Micky Quinn.
Haaland masih mempunyai perjalanan yang jauh untuk mengejar Aguero, penjaring terbanyak City, tetapi Guardiola yakin pemain yang dibeli dari Borussia Dortmund itu mampu mencipta nama dalam sejarah kelab.
“Sergio adalah legenda. Tiada siapa yang mampu memecahkan kedudukannya di hati peminat City, menjaringkan gol paling penting dalam sejarah moden,” kata Guardiola.
“Erling mempunyai kualiti untuk berada di sana. Ini bukan tentang dia atau Sergio. Apa yang Sergio lakukan adalah menakjubkan. Tetapi Erling mempunyai bakat seperti ini.
“Apabila City membeli Haaland, semua orang bercakap tentang apa yang telah dilakukannya pada masa lalu. Apa yang kami mahu lakukan adalah membantunya. Saya berharap dia dapat menikmati dan menjaringkan lebih banyak gol.”
Haaland sudah pun menjadi pilihan utama untuk menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini. Tetapi Guardiola menegaskan membantu City mengekalkan gelaran juara akan lebih bermakna berbanding pujian peribadi. – AFP
