MIAMI, 28 NOV – Pemimpin Eastern Conference, Cleveland Cavaliers mengalami kekalahan pertama mereka di tempat sendiri musim ini dengan keputusan mengejut 135-124 kepada Atlanta Hawks kelmarin.
Kekalahan kedua Cleveland musim ini datang selepas aksi cemerlang dalam separuh masa kedua oleh Atlanta, dengan De’Andre Hunter menjaringkan 26 mata dari bangku simpanan, Jalen Johnson menambah 22 mata dan Trae Young menyumbang 20 mata dengan 22 assist yang tinggi dalam kerjaya.
Young mengesahkan kemenangan untuk Hawks dengan satu jaringan tiga mata dari jarak 39 kaki yang menjadikan kedudukan 129-122 dengan baki 1 minit 43 saat, hanya beberapa saat selepas beliau melakukan kesilapan setelah kehilangan bola.
Johnson berkata assist sumbangan Young memainkan peranan penting dalam kemenangan itu dan beliau sepatutnya mendapat lebih banyak penghargaan atas peranannya dalam pasukan.
“Pada hakikatnya, dia semakin cemerlang dalam permainan dan mencari setiap peluang, ramai orang tidak semestinya bercakap tentang dirinya walaupun dia mengetuai liga dalam assist, tetapi mereka tidak membincangkannya sebagai pengatur serangan,” kata Johnson.
Kemenangan itu membawa Hawks kepada rekod 8-11 untuk musim ini dan Young berkata pasukan itu telah menunjukkan kemampuan sebenar mereka.
“Mereka adalah pasukan yang sangat baik yang telah bermain dengan cemerlang sepanjang tahun ini dan saya rasa kami sedikit tidak konsisten, tetapi apabila kami bermain dengan baik, kami bermain dengan sangat baik,” kata Young.
Donovan Mitchell menjaringkan 30 mata untuk Cleveland dan Evan Mobley menyumbang 22 mata serta 12 rebound, tetapi Cavaliers terlepas peluang untuk menjadi pasukan pertama yang memulakan musim dengan rekod 18-1.
Nikola Jokic dari Serbia memimpin Denver Nuggets meraih kemenangan meyakinkan 122-103 di Utah Jazz dengan 30 mata, 10 rebound dan tujuh assist. – AFP