Monday, October 28, 2024
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    HEALTH HUNTERS juara Cabaran Discover UBD

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Pasukan HEALTH HUNTERS muncul juara Cabaran Discover UBD 2024 sempena Hari Keluarga Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), kelmarin.

    Hadir untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hajah Nor Ashikin Haji Johari.

    Dalam acara berkenaan, juara membawa pulang hadiah berupa tiket penerbangan ke Melbourne, Australia untuk empat orang, manakala tempat kedua yang dimenangi pasukan Houdini’s Friends  membawa pulang hadiah tiket penerbangan ke Seoul, Korea untuk empat orang dan pemenang tempat ketiga, pasukan Lucky Beanie 79 membawa pulang hadiah tiket penerbangan ke Kuala Lumpur, Malaysia untuk empat orang.

    Selain itu, pasukan-pasukan yang mendapat tempat keempat hingga tempat kesepuluh turut menerima hadiah berupa kerusi urut, peralatan elektrik dan barangan UBD sebagai tanda penghargaan atas penyertaan dan usaha luar biasa mereka.

    Cabaran Discover UBD 2024 bermatlamat memupuk semangat kerja berpasukan, mempromosi sejarah dan nilai-nilai UBD sambil menyokong usaha berkebajikan di mana 10 peratus daripada hasil daripada acara berkenaan akan disumbangkan kepada Dana Wakaf UBD.

    Acara berkenaan disertai seramai 304 peserta daripada 76 pasukan dalam pelbagai acara cabaran yang menarik seperti menyelesaikan petunjuk serta mengemudi pelbagai tugasan di seluruh kampus UBD.

    Para pasukan harus menyelesaikan segala cabaran tanpa menggunakan kenderaan, selaras dengan komitmen UBD terhadap amalan mampan sebagai sebahagian daripada inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), di samping mempromosikan tabiat mesra alam dan menggalakkan para peserta berinteraksi dengan persekitaran kampus secara bertanggungjawab.

    Hajah Nor Ashikin bergambar ramai dengan para pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga Cabaran Discover UBD 2024.
    Hajah Nor Ashikin menyampaikan hadiah kepada pasukan yang memenangi tempat keempat dalam Cabaran Discover UBD 2024.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda