Friday, March 14, 2025
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hidangan makanan untuk keluarga kurang berkemampuan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Sebagai sebahagian daripada komitmen untuk memberi kembali kepada masyarakat, GoMamam telah bekerjasama dengan Society for Community Outreach and Training (SCOT) dalam melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka pada bulan suci Ramadan ini.

    Kegiatan amal yang diadakan kelmarin itu telah menyaksikan 250 hidangan disediakan bagi golongan keluarga yang kurang berkemampuan dalam memastikan mereka yang memerlukan dapat berbuka puasa dengan hidangan berkhasiat.

    Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, pekerja-pekerja GoMamam bekerja bersama golongan ibu tunggal di bawah Program Social Kitchen Community SCOT untuk menyediakan, memasak dan mengagihkan 250 hidangan. Makanan berkenaan telah disediakan dengan teliti dan dihantar kepada keluarga di seluruh Daerah Brunei dan Muara.

    CFO dan Pengasas Bersama GoMamam, Awang Hadi Adanan menjelaskan mereka amat komited untuk memberi kembali kepada komuniti dan bulan Ramadan adalah masa yang sesuai untuk membuat perubahan.

    “Menerusi kerjasama dengan SCOT Brunei, kami berharap dapat memberikan keselesaan kepada keluarga yang paling memerlukannya pada bulan yang penuh berkah ini selain memupuk semangat pemberian kepada pasukan kami,” tambahnya.

    Di samping itu, GoMamam telah bekerjasama dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), dalam mengumpul dana untuk kumpulan dan keluarga yang kurang bernasib baik di Brunei. Sepanjang bulan Ramadan, pengguna GoMamam boleh membuat In-App donations melalui MKM store khusus dalam aplikasi tersebut.

    Sumbangan boleh dibuat melalui pindahan wang melalui bank atau pembayaran kad. Pengguna juga boleh memilih untuk mendermakan wallet points mereka untuk menyokong tujuan MKM.

    GoMamam kekal teguh dalam komitmen mereka terhadap CSR dan memupuk komuniti inklusif. Dengan membentuk perkongsian bermakna dan menyediakan tumpuan kepada sokongan, GoMamam secara konsisten menegakkan nilai terasnya iaitu empati, belas kasihan dan tanggungjawab sosial.

    Gambar ramai semasa melaksanakan inisiatif CSR GoMamam pada bulan suci Ramadan. – GAMBAR SERAHAN GOMAMAM
    GAMBAR SERAHAN GOMAMAM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda