Sunday, May 5, 2024
23.4 C
Brunei

    -

    HK vaksin kanak-kanak 3 tahun hari ini

    HONG KONG, 14 FEB – Hong Kong merancang untuk menawarkan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak kecil berumur 3 tahun ketika jangkitan semakin mengganas di seluruh bandar separa autonomi China itu.

    Pengumuman itu muncul lewat kelmarin menjelang pertambahan kes.

    Bandar itu melaporkan 2,071 kes baharu hari ini, dengan jumlah itu dijangka meningkat dua kali ganda pada keesokan harinya dengan lebih 4,500 kes awal positif dikenal pasti.
    Sementara itu, sekolah-sekolah di Hong Kong melanjutkan lagi penangguhan pembelajaran selama dua minggu hingga 6 Mac.

    Gelombang itu disalahkan ke atas varian Omicron yang sudah pun menyaksikan sekatan baharu mengehadkan perhimpunan kepada tidak lebih daripada dua orang.

    Penduduk Hong Kong telah bergegas ke kedai-kedai runcit untuk menyimpan stok sayur-sayuran dan ke kedai salon untuk mengunting rambut.

    Penduduk beratur untuk menjalani ujian koronavirus di pusat ujian sementara COVID-19 di Hong Kong pada 14 Februari. Hong Kong akan mula memberikan vaksin kepada kanak-kanak usia 3 tahun, hari ini. – AP

    Pihak berkuasa telah mengenakan sekatan pergerakan ke atas bangunan-bangunan kediaman di mana kluster jangkitan dikenal pasti dan sudah pun menegah makan di tempat awam selepas jam 6 petang.

    Hanya orang yang sudah divaksinasi akan dibenarkan ke gedung beli-belah, sementara tempat ibadah, salon dan perniagaan lain diarahkan untuk ditutup.

    Imunisasi akan menggunakan vaksin Sinovac buatan China bagi kanak-kanak berusia 3 tahun ke atas akan mula diberikan bermula Selasa.

    Sebelumnya, umur penerima vaksin dihadkan pada usia 5 tahun.

    Hong Kong telah lengkap memvaksinasi sekitar 73 peratus daripada penduduknya yang layak, tidak termasuk kanak-kanak.

    Dengan penduduk sekitar 7.5 juta, Hong Kong pada masa ini telah merawat lebih 7,000 orang dijangkiti COVID-19 atau menunggu kemasukan ke hospital.

    Para pegawai Beijing dan media kerajaan China berkata dasar ‘hidup bersama virus’ yang kini diadaptasi di beberapa buah negara boleh menjejaskan sistem perubatan Hong Kong.

    Bandar itu telah merekodkan lebih 25,000 kes COVID-19 dan kira-kira 220 kematian akibat virus itu. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...