Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Izzue kali pertama bolos Pengacara TV Popular

    Nama Izzue Islam dan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) cukup sinonim kerana sering berada dalam kelompok artis yang sering tersenarai dalam pencalonan awal dan Top 5.

    Terkini, penyanyi, pelakon dan pengacara itu sekali lagi berjaya membolosi senarai pencalonan awal ABPBH 36 dalam dua kategori, Aktor TV Popular dan Pengacara TV Popular.

    Mengulas pencalonannya, Izzue meluahkan syukur kerana buat julung kali namanya tersenarai dalam kategori Pengacara TV Popular iaitu satu lagi cabang seni baharu diceburinya.

    “Alhamdulillah, saya tersenarai dalam kategori Aktor TV Popular dan Pengacara TV Popular.

    “Sebelum ini, saya pernah beberapa kali bergelar finalis ABPBH. Cuma, agak istimewa tahun ini kerana tersenarai dalam kategori Pengacara TV Popular.

    Izzue berjaya membolosi senarai pencalonan awal ABPBH 36 dalam dua kategori, Aktor TV Popular dan Pengacara TV Popular. – Kosmi Digital

    “Untuk bolos ke Top 5, insya-Allah kalau ada rezeki dan dapat undian, tak mustahil. Tapi, saya sedar persaingan sangat sengit.

    “Pengacara tersenarai bukan sahaja mempunyai hasil kerja bagus dan memberi impak, tetapi memiliki kelab peminat sangat kuat,” katanya kepada BH Online.

    Meskipun menyedari laluannya agak sukar, bekas anggota kumpulan Forteen itu tetap positif apabila memasang impian untuk menggenggam trofi kemenangan sebagai kenangan sepanjang 15 tahun berkecimpung dalam dunia seni.

    “Saya tak pernah menang walaupun tersenarai dalam Top 5, sejak mula dicalonkan dalam ABPBH. Jadi, saya teringin juga nak merasa trofi kemenangan.

    “Kalau ditanya sudah tentu saya nak genggam trofi Aktor TV Popular kerana sudah lama berlakon berbanding bidang pengacaraan yang masih lagi baru buat saya.

    “Itu hanya impian, tapi kalau peminat nak beri saya menang kategori Pengacara TV Popular, saya anggap itu sebagai rezeki,” ungkapnya.

    Menjadi antara artis menerima sokongan kuat kelab peminat, pemilik nama lengkap Muhammad Izzul Islam Mazlan, 34, memaklumkan dia sudah melancarkan kempen supaya peminat mengundinya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda