Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jenazah Haniyeh disemadikan di Qatar

    DOHA, 2 OGOS – Qatar mengadakan upacara pengebumian hari ini untuk pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh selepas pembunuhannya dalam serangan yang dituduh dilakukan Israel, sekali gus dikhuatiri memburukkan ketegangan serantau.
     
    Haniyeh, ketua biro politik kumpulan pejuang Palestin itu menetap di Doha bersama-sama dengan anggota Hamas lain.
     
    Jasadnya akan disemadikan di tanah perkuburan di Lusail, utara ibu negara Qatar, selepas solat jenazah di masjid Imam Muhammad bin Abdul Wahhab, masjid terbesar di negara yang kaya dengan gas itu.
     
    Pembunuhannya mencetuskan seruan untuk membalas dendam dan merupakan antara beberapa insiden yang telah menyemarakkan ketegangan serantau semasa perang Gaza antara Israel dan Hamas yang turut melibatkan kumpulan pemberontak yang disokong Iran di Syria, Lubnan, Iraq dan Yaman.
     
    Hamas berkata pemimpin Arab dan Islam serta wakil kumpulan pejuang Palestin lain serta orang ramai akan menghadiri upacara itu.
     
    Gambar menunjukkan Masjid Imam Muhammad bin Abdul Wahhab di Doha. – AFP
    Haniyeh dan seorang pengawal peribadi terbunuh dalam serangan sebelum subuh di kediaman mereka di Tehran awal Rabu lalu, kata Pengawal Revolusi Iran.
     
    Beliau mengunjungi Iran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu, Masoud Pezeshkian pada Selasa.
     
    Israel, yang dituduh oleh Hamas, Iran dan pihak lain atas serangan itu, tidak memberikan komen secara langsung mengenainya.
     
    Pembunuhan pemimpin Hamas itu berlaku hanya beberapa jam selepas Israel menyerang selatan Beirut, membunuh komander tentera Hizbullah, Fuad Shukr.
     
    Di Tehran semalam, orang ramai memberikan penghormatan  semasa upacara pengebumian awam untuk Haniyeh.
     
    Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, mengetuai solat jenazah dan sebelum ini mengancam ‘hukuman keras’ atas pembunuhannya. – AFP
     
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda