Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Sebagai usaha untuk terus meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga kesihatan buah pinggang serta masalah yang berkaitan dengannya, Kementerian Kesihatan telah mengadakan Jerayawara Kesihatan Buah Pinggang untuk Semua bersempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2023 di Kuala Belait pada bulan lalu.
Hadir selaku tetamu kehormat pada pelancaran jerayawara berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.
Turut hadir ialah para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ketua-ketua rumah panjang Daerah Belait serta pegawai dan kakitangan di Jabatan Perkhidmatan Renal, Kementerian Kesihatan.
Majlis dimulakan dengan sesi bergambar ramai dan sesi pemanasan badan sebelum diteruskan dengan acara Fun Walk/Run.
Antara aktiviti yang diadakan semasa jerayawara berkenaan termasuklah Pameran Kesihatan Buah Pinggang, pemeriksaan kesihatan percuma, permainan dan kuiz.
Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Renal, Kementerian Kesihatan juga berhasrat untuk melancarkan jerayawara-jerayawara yang sama di Daerah Tutong dan Temburong.