Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerman hantar pulang 28 penjenayah Afghanistan

    FRANKFURT, 30 OGOS – Jerman hari ini mengumumkan bahawa ia telah menghantar pulang penjenayah Afghanistan ke negara asal mereka buat kali pertama sejak pihak berkuasa Taliban mengambil alih kuasa pada tahun 2021, ketika Berlin menghadapi tekanan untuk memperketatkan kawalan migrasi.

    Kesemua 28 warga Afghanistan itu telah ‘disabitkan kesalahan serius dan tidak mempunyai hak untuk tinggal di Jerman’, kata jurucakap kerajaan, Steffen Hebestreit kepada pemberita.

    Sebuah penerbangan sewaan khas menuju ke Kabul berlepas dari lapangan terbang Leipzig sejurus sebelum jam 0500 GMT, kata pihak berkuasa.

    Ia berlaku tepat seminggu selepas serangan pisau yang membawa maut di festival jalanan di bandar barat Solingen yang mengejutkan Jerman, dengan kumpulan pengganas Islamic State mengaku bertanggungjawab.

    Ia juga berlaku menjelang pilihan raya wilayah yang diawasi ketat di dua negeri timur Jerman pada Ahad, di mana parti sayap kanan yang anti-pendatang, AfD dijangka memperoleh kemenangan besar.

    “Keselamatan kita penting, dan negara kita yang berpegang kepada kedaulatan undang-undang sedang mengambil tindakan,” kata Menteri Dalam Negeri, Nancy Faeser.

    Penerbangan menghantar pulang penjenayah itu adalah hasil daripada ‘rundingan rahsia’ selama dua bulan di mana Qatar bertindak sebagai pengantara antara Berlin dan pihak berkuasa Taliban, lapor akhbar mingguan, Der Spiegel.

    Hebestreit enggan mengesahkan bahawa Qatar telah memainkan peranan, hanya berkata bahawa Jerman telah ‘meminta sokongan rakan serantau utama untuk memudahkan penghantaran pulang’.

    ‘Tiada perbincangan langsung’ dengan pihak berkuasa Taliban, tegasnya. – AFP

    Faeser ketika menghadiri sesi khas Jawatankuasa Hal Ehwal Dalam Negeri Bundestag, di Berlin, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda