Friday, May 3, 2024
24 C
Brunei

    -

    JPM terus dukung agenda negara

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Isu berkaitan dengan pengisian jawatan-jawatan utama di sektor awam dan hal ehwal memangku jawatan-jawatan yang terlalu lama adalah antara perkara yang difikirkan penting dan akan terus diambil perhatian oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Pihak JPM dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan secara whole of government akan terus berusaha menangani isu-isu berkenaan dengan menggunakan peraturan dan garis pandu yang sedia ada.

    Perkara tersebut telah ditekankan oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa ucapan penangguhannya di Dewan Majlis, hari ini.

    “Ini adalah bagi memastikan pegawai-pegawai yang hendak mengisikan jawatan-jawatan utama tersebut merupakan seorang pegawai yang benar-benar berpotensi dan kompeten serta dapat menyumbang dan memberikan impak yang besar kepada kemajuan organisasi, di kementerian mahupun di jabatan mereka ditempatkan atau bertugas,” kata Yang Berhormat Pehin lagi.

    Beliau juga menekankan mengenai pengisian jawatan-jawatan kosong di semua peringkat bahagian di sektor awam bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dengan cekap dan efisien, yang mana menurutnya, JPM melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan terus komited untuk memastikan proses pengisian jawatan dapat dilaksanakan secara adil, berkesan dan cepat, melalui Sistem PSC Recruitment 2.0 (PSCR 2.0) Enhancement; pengukuhan garispandu; mengemaskini peraturan; dan kaedah Talent Pool.

    Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua semasa menyampaikan ucapan penangguhannya. – Gambar oleh Infofoto

    Perkara lain yang difikirkan penting dan akan terus diambil perhatian ialah mengenai perancangan dalam memastikan rancangan penggantian dalam perkhidmatan awam.

    “Dalam hal ini, setiap kementerian dan jabatan akan terus diperingatkan untuk menggunakan garis panduan rancangan penggantian yang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, memastikan pegawai-pegawai kanan yang telah dikenal pasti oleh setiap kementerian dan jabatan diberikan kursus pembangunan kepimpinan di bawah Civil Service Leadership Pipeline yang dikendalikan oleh pihak JPM,” jelas beliau lagi.

    Dalam perkara tersebut, ujar beliau, pihak Institut Perkhidmatan Awam (IPA) juga sedang menyediakan Rangka Kerja Pembangunan Keupayaan Perkhidmatan Awam (RPKPA) yang bertujuan untuk mengukur keupayaan atau kebolehan perkhidmatan awam agar dapat menyokong dan melaksanakan strategi, inisiatif dan program-program kementerian dan jabatan bagi menghasilkan pemberian perkhidmatan yang cemerlang.

    Tekan beliau, warga perkhidmatan awam hendaklah mengambil peluang-peluang latihan dan pendedahan yang disediakan untuk membangun keupayaan sumber tenaga manusia di organisasi masing-masing. Menyentuh mengenai produktiviti organisasi, Yang Berhormat Pehin berkata, ia bergantung kepada kepimpinan, penyampaian perkhidmatan dan inovasi, yang mana seperti yang dijelaskan di dalam mukadimah dan sesi perbincangan pelbagai peluang dan program tersedia bagi membantu kementerian atau jabatan mempertingkatkan produktiviti masing-masing melalui pembangunan kepimpinan serta kursus-kursus latihan pengurusan termasuk inovasi.

    Beliau kemudiannya menyentuh mengenai keamanan dan kestabilan negara yang mana mereka tidak sekali-kali akan berkompromi dengan isu-isu yang melibatkan keselamatan negara termasuk juga anasir-anasir yang cuba mempengaruhi minda masyarakat dengan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan prinsip Melayu Islam Beraja.

    “Dalam hal ini, JPM melalui agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan Insya-Allah akan terus bertindak untuk merangka strategi bagi memelihara kestabilan politik, mempertahankan kedaulatan negara serta menghubungkan keupayaan pertahanan dan keupayaan diplomatik dan juga persediaan negara dalam menangani ancaman keselamatan,” tegas beliau.

    Seterusnya Yang Berhormat Pehin menyentuh mengenai Jabatan Tenaga di JPM yang akan terus melaksanakan strategi yang telah disusun untuk memaksimumkan hasil daripada sumber minyak dan gas,

    Manakala, di sektor hiliran minyak dan gas, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa Jabatan Tenaga di JPM dengan kerjasama agensi yang berkenaan akan terus mendukung pertumbuhan sektor hiliran dengan memaksimumkan dan mengukuhkan rantaian nilai sektor hiliran dengan mengembangkan projek-projek berunsur hiliran derivatif yang mengguna pakai produk petrokimia sebagai feedstock.

    “Kegiatan hiliran di Pulau Muara Besar yang lebih berasaskan industri hiliran oil-based (bersumber minyak) Insya-Allah akan berkembang pesat apabila Fasa Kedua Pulau Muara Besar yang kini sedang di peringkat perancangan memerlukan pelaburan lebih kurang AS$9 bilion dan dijangka mula beroperasi pada tahun 2027/2028,” jelas beliau lagi.

    Menurut Yang Berhormat Pehin, dalam memajukan sektor huluan dan hiliran, keutamaan akan terus ditumpukan ke arah memaksimumkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, termasuk memantau perancangan succession planning dalam mengukuhkan lagi penguatkuasaan Arahan Bruneianisation (Bruneianisation Directive) bagi syarikat-syarikat pengendali utama minyak dan gas, serta memperluaskan lagi peluang-peluang pengusaha-pengusaha tempatan di kalangan PMKS yang dapat membangun dengan daya saing yang tinggi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...